Tuesday 22 October 2019

Pengalaman Berjalan di Tree Top Walk Sungai Sedim - (Siri Pengembaraan South Eco Kedah bersama Tourism Malaysia)

Hai,

Entri kali ni saya kongsikan lebih spesifik mengenai pengalaman saya sendiri di Tree Top Walk Sungai Sedim dan informasi penting yang boleh saya kongsikan. Jika anda sudah membaca entri saya mengenai Siri Pengembaraan South Eco Kedah bersama Tourism Malaysia , ini merupakan salah satu entri susulan.

Ya, saya kesini bersama rombongan Tourism Malaysia untuk program #VisitMalaysia2020. Untuk tidak membuang masa jom saya kongsikan pengalaman saya sendiri.

Tree Top Walk Sungai Sedim terletak di Daerah Kulim di kawasan Hutan Simpan Gunung Inas. Jadinya kawasan ini penuh dengan kehijauan semula jadi yang mempunyai sejarah lama.

Ini saya tengah tunjuk ketinggian pasak ni kat mana.
Panjang Tree Top Walk dari mula hingga hujung ialah 950m dengan ketinggian berbeza-beza di mana ketinggian tertinggi direkodkan ialah 26M dari atas bawah. Bahan binaannya terdiri daripada besi panel yang disaluti aluminium. Manakala untuk tapak pula adalah lebih fleksibel.

Maksimum untuk satu kumpulan berjalan di satu ruang yang sama ialah 10-15 orang dewasa. Hal ini ialah untuk menjaga keselamatan pengunjung dan menjaga panjang hayat panel.

Ini adalah perjalanan masuk ke ruang pejabat dan laluan Tree Top Walk

Papan tanda Tree Top Walk

Ini lah ofis mereka, yang besi tu ialah jambatan Tree Top Walk.

Sedikit penerangan dan sejarah Tree Top Walk Sungai Sedim.
Sebelum itu, kami sempat di berikan penerangan dan menonton sejarah bagaimana Tree Top Walk Sungai Sedim ini dibina. Saya rasa agak menakjubkan apabila melihat pembinaan Tree Top Walk secara berperingkat. Menariknya lagi, harga tiket masuk tidak pernah berubah sejak pembukaannya!

Oh, pembinaan dan pemasangan panel dan pasak Tree Top Walk dilakukan secara berhati-hati untuk mengekalkan keindahan asal alam sekitar. Kerosakkan dikawal dan diminimakan agar tidak merubah struktur Hutan Simpan ini. 

Ini ialah bahan panel pembinaan jambatan dan pasak Tree Top Walk.

Ketenangan yang menjengah sebaik sahaja memasuki ruang pejalan kaki
yang redup ini.
Di atas ni cuaca selalunya cerah namun tak rasa panas pun lebih-lebih lagi di kawasan yang redup dengan dilindungi hidupan flora. Angin kejap-kejap sepoi-sepoi bahasa, kejap kuat dan adakalanya tiada langsung. 

Selain kehidupan flora, kawasan hutan simpan ini merupakan tempat tinggal binatang liar yang tidak diusik pun. Jika anda bertuah, anda boleh nampak beruk, ungka dan binatang liar lain. Tips daripada pengemuda kami, kalau ke mari mata kena sentiasa melihat di pokok-pokok dan di bawah. Anda pasti dapat melihat binatang yang luar biasa.

Ini lah belacannya haha.
Kalau nak tau juga, di beberapa papan akan ada simpulan bewarna merah jambu umpama 'sihir'. Hehe. Tapi semua simpulan comel ini ialah belacan yang dibalut kemas. Hal ini kerana untuk mengelakkan beruk daripada merosakkan papan yang dipasang di tiang-tiang sepanjang jambatan ini.

Siapa sangka beruk ni tak suka belacan!

Papan yang mempunyai tulisan memberi deskripsi mengenai pokok
dihadapannya.
Antara papan yang boleh dilihat ialah papan deskripsi tumbuhan. Setiap papan akan memberi nama, asal usul dan sejarah pokok-pokok tersebut. Sambil-sambil berjalan boleh belajar nama pokok dan kegunaannya sekali.

Diingatkan agar tidak memetik mana-mana tumbuhan ya. Sebab ini ialah kawasan Hutan Simpan yang dipelihara. Mulut pun harus dijaga jangan cakap benda bukan-bukan. Tapi kat sini tak menakutkan pun sebab setiap pagi petugas akan memeriksa serta membersihkan pejalan kaki daripada tumbuhan dan binatang yang berbahaya.

Jambatan yang merentas sungai pada aras tertinggi 26M

Bersama Ira di tengah-tengah jambatan atas sungai.
Kawasan ini tinggi ya, kalau gayat tu, tutup mata jalan perlahan-lahan sebab lantai ni dia fleksibel. Ada rasa lembut-lembut dipijak selesa gitu. Haha.

Binatang liar yang boleh dilihat.
Tahu tak, meskipun kami ketika itu tidak dapat melihat bintang buas, binatang liar yang lebih besar, kami dapat melihat ular yang sangat berbisa! Ular kapak ini baru je lepas makan dan berehat sekejap. Saiznya tak lah terlalu besar tapi boleh membawa maut ya. Kedudukan ini jauh di bawahkami jadi agak selamat.

Nampak tak sepasang kat situ? Perhatikan betul-betul.
Cuba teka binatang apa kah itu?

Ini namanya semua buat hal sendiri. Haha. 

Ini bernama pose ala artis. Antara cara gambar yang boleh anda tiru untuk dapatkan shot terbaik.

Ini lah rombongan Tourism Malaysia yang ke Tree Top Walk Sungai Sedim
Diikutkan perjalanan kami yang kejap berhenti ambil gambar dan sebagainya memakan masa selama 40 minit. Tapi tak letih langsung sebab berhenti sekejap-sekejap dan mengambil gambar. Hehe.

Sebagai langkah keselamatan extra:

- Anda digalakkan untuk memakai topi atau penutup kepala untuk keselamatan ekstra kot kot terjatuh daun atau serangga. 
- Anda digalakkan untuk memakai kasut berstokin di atas.
- Anda digalakkan menyembur diri dengan semburan anti serangga (kat sini ada jugak yang nak gigit tau! Haha).
- Gunakan tali harness untuk gadget anda.

Ini sungguh 'Instaworthy' ya! 
Akhir sekali, abadikan perjalanan anda di Tree Top Walk Sungai Sedim. Hehe. Gambar kat atas ni sebenarnya ada kisah dia. Rasa nak sangat gambar lawa ha merasa ya kaki 'cramp' di tengah-tengah pejalan kaki tu. Hahaha.

Sedikit pesanan, marilah kita menyokong industri pelancongan tanah air kita. Jika diri penat dengan kerja, stress dan rasa tidak bermaya, datanglah alami kehijauan semulajadi di sini. Percayalah, anda serba sedikit rasa ringan dan bertenaga.

Kredit gambar secara pukal: Abam-abam Denaihati (@denaihatinetwork) Aryl ( IG @aryl_je ) , Halim dari Harian Metro (@allimsllh), Ika & Ira dari Backpackers, Irfan, En Jefry dari KTMB dan lain-lain lagi yang nama  tak disebut. Nanti saya tuntut takut-takut tertinggal.

Maklumat lanjut mengenai Tree Top Walk Sungai Sedim boleh rujuk dibawah:

Tree Top Walk Sungai Sedim
Hari operasi: Isnin - Ahad
Masa operasi: 9.00am - 5.30pm
Harga tiket: RM 10 (Dewasa) dan RM 6 (kanak-kanak berusia 7-17 tahun)

Peringatan: Masa operasi adalah mengikut cuaca pada hari kunjungan. Jika cuaca hujan, angin kuat dan teruk, operasi akan ditutup untuk keselamatan pengunjung. Adalah digalakkan untuk membuat panggilan terlebih dahulu untuk bertanyakan cuaca di atas kerana cuaca di bawah kadang-kadang berbeza dengan cuaca di bahagian atas meski di kawasan yang sama.

Harga tiket terpakai kepada warganegara dan bukan warganegara. Harga promosi korporat untuk kumpulan yang berkunjung turut diberikan namun harus membuat temu janji terlebih dahulu.

Emel: hello@treetopwalk.com.my
Nombor telefon: +60 4490-1588
SMS/Whatsapp: +60 1945-0-1588
Fax: +60 449-588

Laman sesawang rasmi: http://treetopwalk.com.my/
Facebook: https://www.facebook.com/TreeTopWalkSgSedim/
Instagram: https://www.instagram.com/treetopwalksgsedim/

Diharapkan entri ini memberi manfaat dan selamat bercuti ke Tree Top Walk Sungai Sedim!

Jumpa di lain entri dan jaga diri.

Tempat Menarik di Baling dan Kulim - Siri Pengembaraan South Eco Kedah bersama Tourism Malaysia [GAMBAR]

Hai,

Pada 9 dan 10hb Oktober lepas saya telah berkesempatan mengikuti rombongan Tourism Malaysia. Rombongan kali ini berfokuskan kepada Pengembaraan South Eco Kedah Siri Baling dan Kulim. Hanya 2 hari 1 malam je.

Tujuan pengembaraan ini tidak lain tidak bukan untuk mengwara-warakan pilihan destinasi untuk Tahun Melawat Malaysia tahun depan #VisitMalaysia2020 . Namun, kalau nak pergi sekarang pun boleh tau! Jom saya kongsikan apa yang aktiviti menarik serta cerita ringkas perjalanan saya di Baling (tajuk ber-highlight kuning) dan Kulim (tajuk ber-highlight biru).

[Ini adalah entri ringkas trip saya sahaja, entri ini akan disunting dari masa ke masa apabila entri susulan sudah tersedia - harap bersabar, bertendang-tendang dahulu kerana saya nak bagi data secukupnya bagi memudahkan trip anda haha]

Hari Pertama - 9hb Oktober 2019 (Rabu)

1. Bertolak menggunakan ETS dari stesen KL Sentral

Saya bertolak dari rumah seawal 5.00am terus ke KL Sentral untuk mengelakkan kesesakkan lalu lintas. Kalau tak bertolak awal, nanti terlepas tren yang bertolak pukul 7.12am.

Perjalanan mengambil masa dalam lima jam menggunakan tren ETS dari stesen KTM KL Sentral ke stesen KTM Sungai Petani, Kedah.

Rombongan daripada Kuala Lumpur. Kiri sekali tu Encik Muadz dari
Tourism Malaysia tapi tak dapat ikut sekali ada kerja. Haha
Yang bagi sign peace ni lawa-lawa orangnya. Hahaha.
Sewaktu naik ETS ni sangat selesa ya meski kami menaiki tren standard ETS. Ruang simpanan pun banyak kalau nak melancong bawa barang tak hengat dunia!


2. Makan santai di Sungai Dusun Tok Wan (Kawasan Pak Long)


Sejurus sampai rombongan kami di Stesen KTM Sungai Petani, kami disambut oleh rombongan bahagian utara pulak dan terus menuju ke daerah Baling. Destinasi pertama di Baling ialah Kawasan Pak Long. 

Rombongan dari Kuala Lumpur bergabung dengan rombongan dari Utara.
Sampai-sampai sahaja, kami di alu-alukan dengan beberapa pengenalan dan ucapan daripada Pak Long. Barulah boleh menjamu selera di Sungai. Sambil celup-celup kaki, sambil makan. 

Ini lah dia tempat makan kat Sungai.

Ya saya memang makan banyak. Hahaha. 

Antara rombongan yang masih di meja makan.

3. Bermain permainan tradisi di Dusun Tok Wan Desa Sentosa 
(Kawasan Pak Long)

Setelah usai makan, kami ke Dusun Tok Wan pula untuk bermain permainan tradisi yang disediakan oleh Pak Long. Dari tempat makan ke Dusun adalah sangat dekat sebab satu kawasan yang sama. Memandangkan hari tu cuaca kurang baik dek hujan turun, air sungai menjadi deras. Maka permainan tradisi di sungai digantikan dengan permainan di darat.

Sebelum mula permainan, kami diarahkan untuk membuat sebanyak empat pasukan yang akan bertanding antara satu sama lain.

Permainan pertama - Lipatan daun kelapa

Ha yang ni pula akan mengimbau kembali zaman kelas pendidikan seni anda! Setiap pasukan diberikan pelepah dan lantak hangpa lah nak lipat tang mana dan mana asalkan anda dapat menghasilkan beberapa ciptaan yang kreatif!

Ni kumpulan saya. Agak duduk bersepah ya. Hahaha.

Dari kiri: Mikrofon kut haha, beg tangan dan kipas a.k.a topi fesyen
alaf baharu.
                   

Permainan kedua - Musang berjanggut

Jika anda masih ingat cerita Tan Sri P.Ramlee yang betajuk Musang Berjanggut anda pasti tahu permainan ini dilakukan.

Ye, sebanyak 4 jenis bahan yang berbentuk butiran kecil seperti beras, bertih jagung, kacang hijau dan gandum yang digaul rata di atas talam. Pasukan yang paling pantas mengasingkan bahan-bahan tersebut akan menjuarai permainan ini.

Semua tercenguk-cenguk kat bawah sebab agak kecil ya semua butiran itu.

Masa ni saya dah terlalu fokus dan rabun. Yang topi terbalik tu saya ya
jangan salah orang meski agak jantan di sini. Haha.
Permainan ketiga - Boling kampung
Nama pun boling kampung jadi memang gaya kampung habis!

Bola untuk lemparan ialah kelapa tua manakala pin ialah botol air. Cara permainan bukan biasa-biasa ya, kena ada teknik ajaib hehe. Sebab salah lempar dia pergi ke tepi langgar orang. Haha.

Sesi demo boling kampung.

Ini lah pin boling kampung. Kreatif kan!

Tiga perkataan je nak cakap - gaya lebih je!
Haha haruk! 


4. Minum Petang di Ruang Makan Ladang Lebah Kelulut Desa Lestari (Kawasan Pak Long)


Usai permainan kami dibawa untuk melepas lelah di Ladang Lebah Kelulut Desa Lestari. Namun kami terus ke ruang makan di atas untuk menikmati minum petang.

Pintu masuk Ladang Lebah dan Rumah Ndoi. Rumah Ndoi terletak di
atas bukit Ladang Lebah ni sahaja.

Ruang makan Ladang Lebah Kelulut Desa Lestari.

Sebelum tu macam biasa Pak Long akan menerangkan beberapa perkara
seperti kebaikkan madu kelulut, jamuan apa disediakan dan lain-lain.

En Jefri wakil KTM sedia ber-posing!


5. Melawat Rumah Ndoi (Kawasan Pak Long)

Rumah Ndoi ni kat atas bukit, cuma perlu panjat sikit. Tak letih pun, ada jalan untuk dilalui. 'Ndoi' bermaksud buaian, jadinya Rumah Ndoi bermaksud Rumah Buaian. Tapi bukan buai laju-laju, buaian hammock yang orang selalu pakai pergi berkemah kat hutan tu.

Nampak sangat klasik!

Khemah pun ada jugak.

Tempat ni luas dan selesa untuk bermalam. Lihatlah ada lampu-lampu kat atas.
Romantik!

Di bawah kawasan beratap itulah Ndoi di pasang siap ada kelambu
lagi yang bewarna putih tu.


Romantik kan?

6. Menginap dan bersantai di Kolam Air Panas Ulu Legong


Waktu malam pun menjelma dan kami pun dah keletihan, maka sudah tiba untuk ke tempat kami menginap. Memandangkan kami ramai, tak muat lah Rumah Ndoi nanti. Hehe.

Ramai yang tak tau sebenarnya kat Kedah ada kolam air panas semula jadi kan??? Ya, semula jadi. Ya, kolam air panas! Kolam Air Panas Ulu Legong ni dibuka tiap hari dan dibuka tiap masa. 24 jam sehari. Perghhhh.

Kat sini ada penginapan di sediakan atau anda boleh berkhemah di tepi air panas. Menarik bukan!

Kolam air panas di Ulu Legong ni luas. Dan ada fasa 2 dan fasa 3 pula dalam
pembinaan!

Sungai kecil yang ada di dalam Ulu Legong ni. Tempat ni rasa dia macam
kat luar negara pun ada. Pemandangan sangat-sangat indah dengan bukit-bukau
yang nan hijau.


Bersama Kak Anie (teman sebilik hehe).


Hari Kedua - 10hb Oktober 2019 (Khamis)

1. Sarapan di Ruang Makan Ladang Lebah Kelulut Desa Lestari


Hari kedua dimulakan dengan sarapan pagi di Ladang Lebah Kelulut Pak Long. Kami di sajikan dengan nasi lemak dan makanan tradisi Pek Nga. Kedua-duanya dibuat sendiri oleh Pak Long dan isteri beliau yang mesra disapa Mak Long.

Pek Nga ni kiranya lempeng kelapa parut gitu. Kalau kat sini, kena makan dengan madu kelulut asli. 

Ini lah nasi lemak Mak Long. Bapak serius sedap. Saya makan tiga
bungkus pagi itu. Nak ambil lagi takut lain tak cukup makan. Hehe.

Selain tiga bungkus nasi lemak, saya makan sekeping Pek Nga.

Pagi-pagi makan nasi lemak dan Pek-Nga.


2. Melawat Ladang Lebah Kelulut 


Sarapan pun sudah, kini tiba untuk kami di bawa melawat ke Ladang Lebah Kelulut untuk merasai sendiri madu kelulut dari bekas dia. Woohoo!

Kat sini, kami di berikan penyedut dan diarahkan untuk sedut bekas madu kelulut terus daripada rumah lebah tersebut. Memang sedikit kelam kabut ya sebab lebah berterbangan, tapi tak perlu risau sebab depa tak gigit. 

Dari jauh je ke merakam tu Aryl? HAHAHA.

Si Irfan ni sebelum kes menyedut, dia di harung lebah kelulut tu. Entah
pemanis apa dia pakai. Hahaha.
Maka berakhirlah lawatan kami di kawasan Pak Long dan Baling di sini. Kami terus naik bas dan bergerak ke Kulim. Perjalanan dalam sejam lebih jugaklah dari Baling ke Kulim.


3. Berjalan di Tree Top Walk Sungai Sedim

Sesampai sahaja di Kulim, kami melalui kawasan hutan simpan yang agak rimbun dan menenangkan. Hutan Simpan Gunung Inas diberi nama. Sehinggalah kami sampai ke atas dan terus ke aktiviti yang saya menenangkan iaitu 'Tree Top Walk'.

Jambatan yang dipasak sehingga 950m dari awal hingga ke akhir ini dibuat dengan besi bersalut aluminium. Pembinaan dilakukan mengikut kehidupan hutan itu sendiri untuk meminimakan kerosakkan ke atas alam sekitar.

Paparan Tree Top Walk. Saya tak tau Halim buat apa masa ni, mungkin
tengah 'streching' haha.
Sangat-sangat tenang!



Ni jambatan yang melintang di atas sungai. Yang menghubungkan antara
daerah Baling dan Kulim! 

Bersama Ika yang sangat-sangat muda ya! 

*Informasi dan pengalaman berjalan di Tree Top Walk boleh klik sini*


4. Water rafting di Sungai Sedim


Selepas jalan menikmati keindahan aktiviti 'Tree Top Walk', kini sudah tiba aktiviti yang saya paling tak sabar nak buat iaitu 'Water Rafting'.

Hehe, saya tak lah pemberani bahkan ini kali pertama cuma saya lagi teruja bila buat benda yang saya takut dan mencabar. Di sini memerlukan keyakinan dan ketenangan yang tinggi kerana kami harus berakit di arus jeram yang deras!

Ini pose bangga namanya bila berjaya dapatkan warna
pelindung kepala dan jaket keselamatan bewarna biru.

Bukan saya. Haha. 


Sebelum 'briefing' dimulakan.
Ini merupakan aktiviti yang terakhir kami di Kulim. Kami menjamu selera dan berpisah mengikut rombongan masing-masing.


5. Balik ke KL dari stesen KTM Bukit Mertajam menggunakan ETS


Kami dari rombongan KL dibawa menggunakan bas ke stesen terdekat iaitu Stesen KTM Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Masa perjalanan sampai ke stesen KL Sentral ialah dalam 4 jam lebih.

Sebelum tu, gambar kumpulan lagi. Haha.

Touch down! Sampai stesen KL Sentral dan semua pun dah barai!
Jap yang belakang sekali tu siapa? Ohmy!

Kesimpulannya, Pengembaraan South Eco Kedah Siri Baling dan Kulim bersama Tourism Malaysia adalah terbaik! Tak letih sangat, penuh ilmu, kaya budaya dan yang penting indahnya pengalaman.

Terima kasih kepada semua pihak terlibat dari pihak Tourism Malaysia, KTMB, Majlis Daerah Baling dan Majlis Daerah Kulim. Terima kasih jua buat semua orang yang sangat-sangat membantu di dalam pengembaraan ini. Umur panjang, kita jumpa lagi ya!

Kredit gambar secara pukal: Abam-abam Denaihati (@denaihatinetwork) Aryl ( IG @aryl_je ) , Halim dari Harian Metro (@allimsllh), Ika & Ira dari Backpackers, Irfan, En Jefry dari KTMB dan lain-lain lagi yang nama  tak disebut. Haha nanti saya minta mereka tuntut ya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Tourism Malaysia boleh rujuk di bawah:

Tourism Malaysia
Laman rasmi: https://www.malaysia.travel/ms-my/my
Instagram: https://www.instagram.com/malaysia.truly.asia/
Facebook: https://www.facebook.com/malaysia.travel.my/

Sebelum menutup entri, diharap anda berkesempatan untuk mengalami keindahan budaya, pemandangan, aktiviti tempatan kita. Kulim dan Baling ni sebenarnya banyak yang anda boleh terokai, lebih lagi daripada apa yang saya kongsi.

Jom lah bercuti di Baling dan Kulim!

Sehingga berjumpa di lain entri!