30 Ogos 2024, Setapak - Dataran Wisma Rampai di Setapak telah dipilih untuk sambutan Ambang Merdeka 2024 bagi tahun ke-4 yang bertemakan "Madani Jiwa Merdeka". Sambutan ini telah dianjurkan oleh penganjur utama iaitu PERKASA Wilayah Persekutuan, Veteran 1 Malaysia, dan PEDULI KASIH dengan kolaborasi beberapa badan lain seperti Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM), Pusat Pakaian Hari-Hari, JMB Wisma Rampai, Persatuan Kebajikan Ibu Tunggal Islam (PAKIT), Pertubuhan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PTTB), Yayasan FELCRA, Pusat Aktiviti Warga Emas Setiawangsa (PAWE Setiawangsa), Persatuan Generasi Cemerlang Kuala Lumpur, dan GENERASI Negaraku Malaysia.
Sambutan Ambang Merdeka 2024 |
Majlis yang dihadiri kira-kira 100 orang ini dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Yang Bahagia Dato’ Zaharin Mohd Yassin, Yang Dipertua PERKASA Wilayah Persekutuan. Dalam ucapannya, Dato’ Zaharin menekankan pentingnya semangat kemerdekaan dan perpaduan dalam masyarakat. Selain Dato’ Zaharin, majlis ini juga dihadiri oleh ahli pimpinan PERKASA Wilayah Persekutuan, beberapa Badan Bukan Kerajaan, serta ahli perniagaan seperti Dato’ Sri Abu Hassan daripada DPUM, Pengerusi Veteran 1 Malaysia; Dato’ Abd Rahman Hashim, Pengerusi Persatuan PEDULI KASIH; Tuan Jaafar Albar Abd Talib, Rani Kulup dan keluarga, wakil OGOShop, wakil media dan ramai lagi.
Yang Bahagia Dato’ Zaharin Mohd Yassin, Yang Dipertua PERKASA Wilayah Persekutuan. |
Objektif utama acara ini adalah untuk menyambut ulang tahun Merdeka ke-67 Malaysia sambil mengeratkan hubungan antara badan-badan perniagaan yang lain, serta menyumbang kepada komuniti setempat. Sebelum acara utama, badan bukan kerajaan yang terlibat pada malam ini turut menganjurkan beberapa aktiviti dalam bulan ogos bersama komuniti tempatan seperti pertandingan mewarna di Tadika KEMAS di kawasan Setapak.
Sambutan Ambang Merdeka pada malam ini pula dimeriahkan dengan aktiviti seperti sesi karaoke, pertandingan pakaian beragam kanak-kanak, kuiz Merdeka, dan pertunjukan bunga api. Pemenang dan peserta turut mendapat hadiah, hamper dan cenderahati terdiri daripada produk Industri Kecil dan Sederhana. OGOShop juga bermurah hati dalam menaja baju kemeja T pada malam tersebut.
Kemuncak majlis pula dimulakan dengan penyerahan Jalur Gemilang yang digunakan pada upacara menaikkan bendera sebelum detik 12 malam, diiringi oleh lagu "Negaraku" yang dinyanyikan oleh semua tetamu majlis.
Pertandingan pakaian beragam tema Merdeka. |
Usai menaikkan bendera, pertunjukan bunga api pula dimulakan selama beberapa minit. Pertunjukan bunga api ini disumbangkan oleh Datuk Jawahar Ali Taib Khan selaku pemilik Nasi Kandar Ali Maju dan juga Pengerusi PRESMA. Majlis Ambang Merdeka ini kemudian diakhiri dengan lagu "Jalur Gemilang" yang meninggalkan kesan mendalam tentang semangat patriotik dan perpaduan di kalangan peserta dan masyarakat setempat.
Upacara menaikkan Bendera Malaysia dan pertunjukkan bunga api. |
MENGENAI PENGANJUR
PERKASA - Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) merupakan Badan Bukan Kerajaan yang "memperjuangkan" dan "mempertahankan" hak-hak orang Melayu dan Bumiputera di Malaysia. Contohnya, memudahkan pelajar memohon biasiswa pelajaran dan juga membanteras peniaga warga asing yang mengambil hak peniaga pribumi.
Veteran 1 Malaysia – Persatuan Veteran 1 Malaysia mengumpulkan ahli-ahli veteran yang pernah berkhidmat untuk negara serta membantu ahli untuk menyesuaikan dan meneruskan kehidupan selepas perkhidmatan.
PEDULI KASIH - Persatuan awam yang menggerak, mengeratkan, dan mengukuhkan silaturahim, kebajikan, kerjasama, persefahaman, dan kesejahteraan sesama ahli dan masyarakat setempat.
No comments:
Post a Comment