Sunday, 8 September 2024

DS Café KL: Pengalaman Unik Menikmati Juadah Melayu dalam Suasana Dekorasi Inggeris.

Jika anda mencari tempat yang menawarkan pengalaman makan yang unik di Kuala Lumpur, DS Café KL adalah destinasi yang tidak boleh anda lepaskan. Dibuka pada bulan Julai 2024, kafe ini dimiliki oleh Datin Sri Nora dan keluarganya. Bermula dari hobi Datin Sri Nora yang gemar memasak dan menjamu tetamu dengan hidangan istimewa, kini DS Café KL menghidangkan juadah Melayu dalam suasana dekorasi Inggeris yang elegan.

Hidangan DS Café KL, Desa Pandan

“Rumah saya sentiasa menjadi tumpuan ahli keluarga, terutamanya pada musim perayaan. Walaupun ada pembantu, saya sudah biasa menyediakan hidangan istimewa untuk semua tetamu. Saya rasa puas hati apabila dapat menjamu tetamu dengan air tangan sendiri,” kata Datin Sri Nora ketika berjuma dengan beliau.

Kafe ini bukan sahaja diuruskan berseorangan oleh Datin Sri Nora, beliau juga dibantu oleh anaknya Izzroy dan menantunya Alisha. “Kami rasa lebih selesa apabila sekeluarga bersama-sama menguruskan kafe ini. Susah dan senang, penat bersama-sama, ini merapatkan lagi hubungan kami sekeluarga,” tambah Datin Sri Nora.

Hidangan juadah Melayu

Dari kiri (atas): Masak lemak ayam + nasi, Asam pedas pari + nasi dan Nasi ayam Chiengmai
Dari kiri (bawah): Nasi lemak premium, lontong dan Kari daging + nasi

DS Café KL adalah kafe bersaiz mini yang boleh memuatkan 28 orang pada satu masa. Walaupun mengadopsi konsep dekorasi Inggeris, kafe ini menghidangkan pelbagai juadah Melayu yang menyelerakan. Antara hidangan utama termasuklah Asam Pedas, Nasi Lemak, Sambal Bilis, Ayam Goreng, Masak Lemak Cili Api, Lontong, dan tidak ketinggalan, Nasi Ayam Chiengmai — hidangan signature yang dipersembahkan oleh Alisha, menantu Datin Sri Nora yang berasal dari Chiengmai, Thailand.

Hidangan istimewa di sini adalah Asam Pedas yang dimasak dengan resipi khas Datin Sri Nora. Hidangan ini dikenali dengan rasa pedas dan masam-masam manis yang unik. Datin Sri Nora turut menambah, “Kami menggunakan ikan segar yang dibeli setiap hari dan tiada penambah perisa seperti ajinomoto dalam masakan kami.”

Selain itu, Nasi Ayam Chiengmai juga adalah tarikan utama kafe ini. Keenakan Nasi Ayam Chiengmai terletak pada ayam bakar yang diperap dengan santan dan bahan-bahan terpilih serta sambal istimewa yang dibuat daripada tauchu, cili api, akar ketumbar dan bahan-bahan lain. Resepi yang digunakan pula diwarisi daripada ibu Alisha yang paste memberikan pengalaman makan yang berbeza.

DS Café KL juga menawarkan Nasi Lemak yang dilengkapi dengan dua jenis sambal — sambal biasa dan sambal ikan bilis dengan harga RM4.90! Nasi Lemak ini sering dipesan oleh orang diluar sana untuk program Infaq Jumaat. Nasi Lemak ini dimasak dengan santan segar, sambal yang ditumis garing, dan turut disediakan Nasi Lemak Premium yang disertakan dengan ayam goreng.

Datin Seri Nora ketika memperkenalkan DS Café

Untuk mereka yang menyukai kuih-muih Melayu, DS Café KL juga menyediakan pelbagai pilihan seperti Jemput-jemput Pisang, Popiah Goreng, Kuih Kasturi, dan banyak lagi.

Dari kiri: Thai Pink Milk, Thai Tea dan Thai Green Tea

Tak cukup dengan itu, di sini ada empat jenis air minuman Thailand iaitu Thai Tea, Thai Green Tea, Thai Tea Limau dan Thai Pink Milk. Jika dibandingkan dengan pilihan luar sana, rata-rata hanya menyediakan dua jenis sahaja iaitu Thai Tea dan Thai Green Tea. Selain tu, minuman Thailand di sini tidak pecah poket, tidak terlampau manis dan bersaiz medium. 

Review peribadi

1. Harga, menu dan pilihan

Diikutkan harga di sini tak atas sikit daripada harga kedai dan bawah daripada harga dalam mall. Bagi saya dengan saiz hidangan, rasa masakan dan keselesaan kedai, harga yang ditawarkan adalah sangat berbaloi dan mampu milik. 

DS Café ni walaupun kecil, pilihan menu makanan agak banyak. Lihat saja gambar menu di bawah. 

Menu DS Café KL

2. Lokasi, tempat letak kenderaan dan keselesaan

Nak cari mudah je boleh guna google map taip DS Café KL. Memang akan nampak papan tanda di tingkat 1. Memandangkan Desa Pandan ni padat, tempat letak kenderaan tu terhad tapi boleh je cari di kawasan ini. 

Suasana kedai pula tenang dan bersih. Juga, tak perlu tanggal kasut bila masuk ke dalam ya!

3. Menu hidangan

Kombo nasi lemak + ayam bakar Chiengmai + kari daging ni sedap sangat

Kegemaran saya di sini ialah Nasi Lemak, Ayam daripada Nasi Ayam Chiengmai dan kari daging. Memang tiga ni nak datang dan makan lagi.

Nasi lemak di sini dimasak dengan santan segar jadi rasa santan pada nasi tu kuat tapi tak melembikkan nasi. Serta tak muak makan. Selalu santan banyak boleh buatkan nasi lemak ni lembik dan memuakkan, nasi lemak di sini di kukus sebab tu elok je senang berderai. Lepas tu, sambal nasi lemak sedap sangat, tak cair dan cili kering tu betul-betul di masak. Walaupun tak ada belacan, tapi rasa sambal tu tetap ada 'kedalaman'. Antara sambal nasi lemak sedap! Sebab itu lah juga nasi lemak sering dipilih sebagai menu infaq di sini.

Ayam Cheingmai pula tak melekit dan lembut di dalam. Walaupun ayam dah sejuk sebab saya sibuk ambil gambar, ayam masih sedap di makan. Cicah dengan sos masam hijau Thailand tu pula membuka selera. Berbeza rasa nasi ayam ni dengan nasi ayam Thailand yang biasa kita makan sebab resepi ini dari Utara Thailand. 

Kari daging pula menu yang baru diperkenalkan. Biasa kari ayam je yang ada dihidangkan. Kalau ada pun biasa di kedai mamak. Jadi, kari daging yang ada di sini memang menyelerakan. Daging pun tak liat, kari pekat. Kena dengan tekak saya yang suka kari pekat. Antara yang wajib dipesan!

Senang cerita, masakan yang saya rasa tak boleh dijumpai diluar sebab masakkan di sini memang ikut gaya masakkan rumah. Tak ada pengaruh khusus dari daerah mana-mana. Konsep masakan di sini bagi saya memang dekat di hati dan membuka palet rasa baharu.

Dekorasi ala Inggeris dan berhawa dingin

DS Café KL ini menawarkan suasana kafe Inggeris yang menenangkan. “Saya mahu tetamu merasai pengalaman yang berbeza — menikmati Asam Pedas, Masak Lemak Cili Api, dan Nasi Lemak dalam kafe dengan sentuhan dekorasi Inggeris. Perabot moden dan dinding putih serta hiasan minimalis menjadikan tetamu lebih tenang,” ujar Datin Sri Nora.

Lagi kafe ini juga berhawa dingin yang nyaman. Jadi bila nak makan waktu tengahari memang sangat selesa di sini.

Tempat yang selesa dengan pelbagai kemudahan seperti surau dan tandas

Maklumat lanjut

Terletak di tingkat 1, pintu masuk sebelah kedai motor

DS Café KL
Alamat: 1-1, Jalan 5/76b, Desa Pandan, 55100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Hari operasi: Setiap hari 
Masa operasi: 11am-8pm

DS Café KL juga menyediakan perkhidmatan penyediaan makanan untuk tujuan Infaq dan acara lain seperti majlis kenduri dan katering. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi 016-3376594 atau 011-11396629.

Media sosial:
Instagram: DS Café KL

TikTok: DS Café KL

Juga boleh tonton video di bawah ini untuk melihat suasana dan makanan DS Café KL:
@zandra.zane [DS Café KL] Juadah melayu, deko inggeris. 🍛 Review penuh di blog saya, https://thirteenpersona.blogspot.com/2024/09/ds-cafe-kl-desa-pandan-review.html ✨ 📍DS Café KL 🏠: 1-1, Jalan 5/76b, Desa Pandan, Kuala Lumpur 📆: Setiap hari ⏰: 11am-8pm *Tingkat 1, pintu masuk sebelah kedai motor corner Untuk tujuan Infaq dan acara, hubungi 016-3376594 atau 011-11396629. @dscafekl #dscafekl #cafekl #kedaimakanmelayu #kateringkl #thaipinkmilk #nasilemak #klfoodie ♬ lucky girl syndrome - ౨ৎ⋆˚。⋆


Jom datang ke DS Café KL dan rasai sendiri keistimewaan hidangan Melayu dalam suasana yang berbeza!

No comments:

Post a Comment