Thursday 21 December 2023

Pembukaan Semula Pasaraya dan Medan Selera Delicatessen AEON Mid Valley - Lebih Luas, Lebih Selesa dan Lebih Cantik!

21 Disember 2023, Kuala Lumpur - AEON Mid Valley telah membuka semula pasaraya dan ruangan medan seleranya pada hari ini setelah membuat pengubahsuaian selama berminggu lamanya. Pembukaan ini juga telah memberi lebih keselesaan buat pengunjung yang ingin membeli-belah di pasaraya dan membeli makanan di ruang medan selera Delicatessen. Saya sendiri dah jejak kaki pada hari pertama perasmian pembukaan hari ini.

Jom saya ceritakan apa yang saya alami sendiri!

Pasaraya AEON Mid Valley dan pengenalan barangan rumah jenama sendiri Hóme Cóordy

Sebenarnya AEON ada pelan untuk mengubahsuai semua tingkat mereka di Mid Valley. Pengubahsuaian dimulakan dari tingkat bawah dahulu iaitu bahagian pasaraya dan ruang makan. Pasaraya dibuat lebih teratur, bersih, pengenalan bahagian baharu dan penambahan kaunter 'self check out'.

*Pasaraya dengan estetik menarik serta bahagian yang disusun atur lebih bagus

AEON ni dari dulu lagi nampak teratur je, tapi mereka tetap nak ubah suai bagi lebih elok. Apa yang paling ketara ialah susunan bahagian barang basah dengan penampilan lebih teratur, bersih dan ada segmen organik dan sebagainya. Dulu kat bahagian ikan kat AEON Mid Valley ni, lantai kadang-kadang basah lepas tu ikan macam satu kat sana satu kat sini. Sekarang ni boleh nampak teratur siap menarik pula mereka susun ikan bergaya kat bucu tu, Haha.

Kreatif pula AEON ni nak susun ikan macam ni ya! Comel!

Lepas tu ada bahagian Topvalu sendiri yang lebih teratur. Saya sendiri pun suka juga beli jenama makanan Topvalu yang jual bahan dari Jepun sebab lebih mampu milik. Jadi senang nak cari lepas ni. Bahagian lain tak perasan lah apa yang berubah sebab dari dulu nampak elok je.

*Pengenalan jenama sendiri Hóme Cóordy di AEON Mid Valley

Kita sering dengar Topvalu, kini ada satu lagi di bawah jenama ini iaitu Hóme Cóordy yang berfokuskan kepada barangan rumah seperti tuala, bakul, bekas peyimpanan makanan, penggantung baju, bantal dan sebagainya.

Dah boleh beli barang rumah konsep muji dekat AEON sendiri.

Rekaan dan konsep barangan Hóme Cóordy ini lebih kepada konsep muji yang terkenal di Jepun iaitu tema dengan paduan warna putih dan warna natural dengan suntikan konsep industri. Dengan adanya jenama Hóme Cóordy ini, bolehlah kita miliki barangan rumah konsep muji yang dengan harga lebih mampu milik.

*Kaunter 'self check out' yang lebih banyak

Memandangkan AEON Mid Valley ni banyak pengunjung, kaunter pembayaran yang dibuka sering penuh. Oleh itu dengan pengenalan kaunter 'self check out' yang lebih banyak memudahkan pengunjung membayar barangan mereka sendiri. Sesuai juga bagi yang ingin membeli sedikit barang dan tidak suka berinteraksi dengan orang lain.

Kaunter 'self check out' AEON Mid Valley banyak dan kawasan pun luas.

Seronoknya kat ruangan kaunter 'self check out' di AEON Mid Valley ini ialah kawasannya luas tak perlu bersesak-sesak dengan pengunjung lain meskipun terdapat 10 kaunter di sini. Antara lain, sistem yang digunakan juga senang, mudah dan laju 

*Promosi barangan di AEON Mid Valley

Sempena pembukaan semula pasaraya AEON Mid Valley ni, AEON ada buat promosi khas yang ada kat cawangan ni sahaja. Promosi ini berlangsung selama 12 hari dari 21hb Disember sehingga 1hb Januari 2024.

Boleh rujuk kat gambar yang saya sertakan di bawah ya!

promosi-pembukaan-semula-aeon-mid-valley-delicatessen-la-boheme-food-court

promosi-pembukaan-semula-aeon-mid-valley-delicatessen-la-boheme-food-court

promosi-pembukaan-semula-aeon-mid-valley-delicatessen-la-boheme-food-court

promosi-pembukaan-semula-aeon-mid-valley-delicatessen-la-boheme-food-court

Bukan selalu AEON buat promosi barangan macam ni lagi-lagi dengan ekonomi yang membuatkan air mata sering menitis ni. Eloklah rembat promosi ni selagi masih berjalan ya.

Pembukaan semula Medan Selera atau Food Court AEON Delicatessen

Akhirnyaaaa, yang ditunggu-tunggu oleh saya sudah buka iaitu Medan Selera di AEON Mid Valley. Dulu medan selera ni tak luas sangat, jalan antara AEON dan AEON BiG sempit je. Tiap lalu je rasa macam jalan kat pentas peragaan, kiri kanan ada penonton. Begituuu sekali yaaaa. Sekarang bila dah buat ubah suai, terus lapang terbuka jalan siap banyak lagi tempat duduk. Tempat duduk lawa pulak tu terang benderang. Cantik dan selesa lagi.

Cantik kan ruangan baru? Lebih cerah berbanding dulu juga.

Sebelum ni ada beberapa je pilihan gerai makanan tak termasuk  AEON punya. Sekarang ada dalam 10 gerai makanan ditambah. 

Ini senarai gerai yang ada tidak termasuk AEON (La Boheme, Sushi, Coco Cafe dan sebagainya):

1) Pinggan Panas
2) Kakak (Jual bento korea)
3) Delightful Dessert
4) The Roast Bebek (Kedai nasi itik)
5) Bawang Merah Putih (Makanan Indonesia)
6) Ken-chan Curry (Nasi kari Jepun)
7) Ta-daa Box (Jual minuman yang ada kejutan, hampir nak buka!)
8) Penang Chendul
9) Pak Abu Yong Tau Foo
10) Selera Wok & Grill
11) Vegelicious Jr. (Kedai vegetarian kegemaran)
12) Portuguese Grill Fish BBQ

Antara beberapa gerai makanan yang ada di Medan Selera Delicatessen.

Beberapa gerai di atas turut melakukan promosi pembukaan masing-masing, jadi waktu ni la kena pergi belanja diri sendiri atau orang yang tercinta, boleh jimat banyak tau. Selain gerai makanan kat medan selera Deliactessen, jangan dilupakan jenama La Boheme dan ruangan makanan lain sebab ada juga promosi khas yang diberikan kepada pengunjung sempena pembukaan.

Benda yang buatkan saya suka beli makanan kat sini ialah Delicatessen AEON Mid Valley ada kaunter 'self check out'. Ini sangat membahagiakan sebab tak perlu beratur kat kaunter bayaran. Cumanya, makanan dan minuman yang ada kod bar je lah boleh imbas kat sistem. Haha.

Setakat makanan siap bungkus, makanan yang boleh ditimbang dan minuman dalam botol boleh pergi ke kaunter 'self check out' tapi minuman bancuh kat Coco Cafe kena buat pesanan manual dan bayar kat kaunter mereka sendiri. Sama juga dengan makanan cucuk-cucuk oden, cucuk-cucuk lain nak tak nak kena pergi ke kaunter untuk bayar, kalau ada ruang kira sendiri baguskan. Haha. Walauapapun, lebih baik ada kaunter ni berbanding tak ada, tetap jimat masa!

Jangan juga dilupakan makanan daripada AEON sendiri.

Secara keseluruhan lah, saya sendiri suka ke medan selera AEON Mid Valley ni sebab tak perlu nak fikir susah-susah kalau nak cari makanan sebab banyak benda lagi-lagi bila jalan dengan ramai orang yang bermacam-macam nafsu makan ada. Pening nak itu pening nak ini, ha pergi je lah medan selera AEON. Makan lah apa suka tak perlu nak ada sesi gaduh rujuk sampai poket koyak, senang kannn!

Jom lihat promosi apa yang ada untuk bahagian makanan pula yang turut berlangung selama 12 hari bermula 21hb Disember 2023 hingga 1hb Januari 2024!

promosi-pembukaan-semula-aeon-mid-valley-delicatessen-la-boheme-food-court

promosi-pembukaan-semula-aeon-mid-valley-delicatessen-la-boheme-food-court

IWATE Fair di AEON Mid Valley

Sempena pembukaan semula AEON Mid Valley, AEON mengambil kesempatan ini untuk mengadakan IWATE Fair yang telah pun berlangsung di hadapan pasaraya AEON Mid Valley. IWATE Fair ini menjual serta memperkenalkan barangan hasil daripada Wilayah Iwate dari Jepun. Iwate yang terletak berdekatan dengan laut ini terkenal dengan makanan laut seperti ikan tuna, ikan-ikan kecil, kerang, telur ikan dan sebagainya. Produk makanan laut dari Itawe sejukbeku juga dijual di sini. Import terus dari Jepun tau!

Pemandangan hadapan IWATE Fair.

Walaupun berdekatan dengan laut, Iwate juga terkenal dengan daging lembu Wagyu A5! Oleh itu di IWATE Fair ini anda boleh mendapatkan daging wagyu A5 pelbagai potongan dengan harga yang lebih rendah daripada pasaran. Lebih mengujakan, AEON turut berbesar hati dengan menjual Wagyu A5 panggang di IWATE Fair buat pengunjung dengan harga yang berpatutan. RM20 untuk secucuk dan RM38 untuk dua cucuk. Daging dipanggang boleh terus makan kat situ atau boleh bawa balik, tapi makan panas-panas tak kongsi tu la paling nikmat sebenarnya, hahaha.

Bagi saya, rasa Wagyu Cucuk kat sini lebih garing dan diperasa secukupnya. Masa panggang tu, mereka bubuh 'Flavoured Pepper' Ajinomoto. Itu aje tak de lain. Jadi daging tu lebih sedap di makan tanpa terasa muak memandangkan Wagyu ni pun memang jenis berlemak gitu. Menyesal tak beli dua tiga empat waktu kena belanja tadi. Sekarang terbayang dah. Hmmm.

Di Instagram saya ada muat naik satu reel makan daging wagyu ni. Boleh klik link di sini kalau nak tengok. Tolong bagi like sikittttt.

Bau panggang ni memikat!

Lebih menarik lagi, terdapat produk dari wilayah ini juga turut dijual di Iwate Fair seperti buah epal, mochi, ramen pelbagai jenis, snek dan beberapa jenis produk lagi. Semuanya didatangkan terus dari Iwate sendiri. Oh, ada produk yang tak halal ye seperti ramen tapi diasingkan. Namun jangan risau, kebanyakkannya halal termasuk Wagyu tu. Tak pasti boleh tanya promoter ya.

Antara produk dari Wilayah Iwate.

Akan berlangsung juga di IWATE Fair ini ialah ada Persembahan Menakjubkan Pemotongan Tuna Bluefin dan Daging Wagyu pada 23hb Disember masing-masing pada pukul 1.30pm dan 1.50pm. IWATE Fair ini berlangsung sehingga 26hb Disember sahaja tau. Jadi boleh dapatkan produk premium dengan harga istimewa dan merasai Wagyu A5 cucuk cepat-cepat ya.

Jom lihat video TikTok di bawah untuk melihat serba sedikit hari pertama pembukaan AEON Mid Valley Supermarket dan Medan Selera Delicatessen.

@zandra.zane

AEON Mid Valley Supermarket dan Delicatessen Food Court dah renovate dah.😍😍 Bacaan lanjut di thirteenpersona.blogspot.com okie!❤️

♬ Daydreamin speed up - 🪽


Makin menarik dan meriah lah AEON Mid Valley ni. Jom lah ramai-ramai ke AEON Mid Valley ni dan dapatkan harga promosi dan penjimatan ketika hari perayaan mendatang dan tahun baru 2024!


Tuesday 19 December 2023

Guardian Ganda Sasaran 40 Juta Sumbangan Mandian Untuk Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik Bagi 2024

Petaling Jaya, 15 Disember 2023 - Guardian hari ini mengumumkan kejayaannya mencapai sasaran untuk menyediakan 20 juta mandian kepada kanak-kanak kurang bernasib baik pada tahun 2023 di bawah kempen Tanggungjawab Sosial Korporat serantaunya iaitu “Bersama, Menjaga Kebersihan dan Kesihatan Kanak-Kanak”.


Mengaitkan pencapaian bersejarah ini dengan sokongan kuat yang diberikan oleh pelanggannya terhadap kempen itu, Anna Ng, Pengarah Pemasaran, Guardian Malaysia berkata, “Kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada para pelanggan yang telah membantu kami meraih pencapaian 100% dalam menyediakan 20 juta mandian untuk kanak-kanak kurang bernasib baik di rantau ini, khususnya Malaysia, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Kemboja untuk 2023. Lebih 40,000 mandian telah disumbangkan kepada kanak-kanak di Malaysia pada 2023.

guardian-sasar-40-juta-sumbangan-bersama-guardiancares-yayasan-sunbeams-home-petaling-jaya
Sumbangan Mandian di Yayasan Sunbeams Home Petaling Jaya

“Hasil daripada pencapaian ini, sasaran kami untuk 2024 bakal digandakan menjadi 40 juta mandian - dua kali ganda berbanding tahun lalu.”

Program “Bersama, Menjaga Kebersihan dan Kesihatan Kanak-Kanak” Guardian mengiktiraf bahawa semua orang berhak untuk menjadi bersih dan sihat dan ia adalah hak asasi setiap manusia.

“Menjaga kebersihan dan kesihatan adalah hak asasi segenap masyarakat dan ia tidak boleh dianggap sebagai kemewahan, terutama untuk kanak-kanak. Kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah sangat terdedah kepada pelbagai risiko. Di samping itu, kami juga percaya bahawa apabila kanak-kanak berasa bersih dan wangi, ia akan menambahkan keyakinan diri serta meningkatkan kesejahteraan mental mereka.” tambah Ng.

Selain menyediakan produk penjagaan mandian, Guardian juga akan menganjurkan Bengkel Kebersihan Interaktif di sekolah-sekolah di mana pelajar akan diajar tentang amalan kebersihan yang baik.

Di bawah kempen ini, 15 sen daripada setiap liter produk penjagaan mandian Guardian yang dijual di Malaysia akan disumbangkan untuk membeli produk mandian untuk kanak-kanak kurang berkemampuan ini. Selain itu, patung beruang Guardiancares akan dijual pada harga
RM29.90 sahaja. Untuk 2024, Tuala Berhud Beruang Guardiancares istimewa juga akan dijual pada harga RM29.90 di semua stor Guardian di seluruh Malaysia, juga boleh dibeli menerusi stor dalam talian dan aplikasi mudah alih Guardian. Semua hasil jualan Patung dan Tuala Berhud Beruang Guardiancares akan disalurkan ke dana #guardiancares untuk menyokong keperluan penjagaan mandian kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia.

guardiancares-bear-towel-hud-price-donation
Tuala berhud Guardiancares Bear dan Guardiancares Bear yang bernilai rm29.90 setiap satu.

Sempena pengumuman ini, Guardian turut menyumbangkan produk mandian kepada kanak-kanak Yayasan Sunbeams Home di Petaling Jaya. Mereka adalah penerima sumbangan pilihan pemenang peraduan Face of Healthy Beauty Guardian 2023, Kay Yap Yen Yin. Salah satu daripada hadiah yang dimenangi oleh pemenang ialah sumbangan produk Penjagaan Mandian Guardian bernilai RM5,000 kepada pertubuhan kebajikan pilihan mereka.

kay-yap-yen-yin-guardian-winner-yayasan-sunbeams
Kay Yap memilih Yayasan Sunbeams Home sebagai pilihan sumbangannya.

Kay berkata, “Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan kesukaran kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan saya berharap lebih ramai kanak-kanak mendapat akses kepada keperluan penjagaan diri yang berkualiti dan mendapat maklumat tentang kesihatan dan kebersihan yang boleh mengurangkan masalah kesihatan yang boleh dicegah secara berkesan. Secara peribadi, saya mengalami ruam kulit (di dahi dan jari kaki) semasa di bangku sekolah kerana mengabaikan rutin kebersihan kulit yang betul. Saya hanya mengamalkan tabiat kebersihan diri yang betul selepas mendapati kulit muka saya bermasalah.”

Fasa kedua #Guardiancares “Bersama, Menjaga Kebersihan dan Kesihatan Kanak-Kanak” akan bermula pada 27 Disember 2023.

“Kami sangat berharap agar pelanggan kami akan terus menyokong kempen yang terpuji dan bertepatan dengan keadaan ekonomi semasa yang mencabar ini, dan kami berharap usaha kami akan terus memainkan peranan utama dalam menjaga kebersihan dan kesihatan kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia dan di seluruh rantau ini,” kata Anna mengakhiri.