Sunday 7 January 2024

Guardian Melancarkan Set Koleksi Edisi Terhad SPYxFAMILY

Kuala Lumpur, 6 Januari 2024: Guardian dengan bangganya melancarkan Siri terhad Koleksi barangan salah satu siri manga terlaris di Jepun dan siri televisyen adaptasi anime iaitu SPYxFAMILY. Dalam siri edisi terhad ini, terdapat empat koleksi boleh didapati peminat di semua stor Guardian dan di atas talian melalui Guardian Online Store.

guardian-spxfamily-limited-edition-set-collection-2024
Set Koleksi Edisi Terhad Guardian SPYxFAMILY

Sedikit pengenalan, SPY×FAMILY merupakan sebuah siri manga Jepun yang ditulis dan dilukis oleh Tatsuya Endo. Manga ini mengisahkan tentang misi penyamaran seorang pengintip yang bernama Loid berkahwin dengan Yor dan mengambil anak angkat bernama Anya untuk meneruskan sebahagian daripada penyamarannya. Tanpa Loid sedari, Anya memiliki kuasa telepati dan Yor pula ialah seorang pembunuh upahan yang handal. Ketiga-tiga mereka perlu berusaha untuk kekal bersama untuk kepentingan mereka tersendiri.

Sebagai sebuah siri web animasi, SPYxFAMILY telah dipilih sebagai Komik Web Paling Popular Nombor 1 pada 2019 dan telah mencecah 480 juta tontonan pada Ogos 2022. Menjelang Disember 2023, SPYxFAMILY telah mencapai lebih 34 juta edaran, menjadikannya salah satu siri manga terlaris di pasaran.

Dengan kesempatan ini, Guardian tidak melepaskan peluang untuk bekerjasama dengan SPYxFAMILY dalam mengeluarkan empat set koleksi edisi terhad buat penggemar siri manga ini yang tidak boleh didapati di mana-mana selain daripada Guardian.

Set Barangan Koleksi adalah seperti berikut:

1. Loid Collection

guardian-spxfamily-limited-edition-set-collection-2024-loid-forger

- Sempena watak bapa dalam siri anime ini iaitu Loid Forger. 
- Bernilai RM199
- Boleh didapati bermula 27 Disember 2023 sehingga 10 Januari 2024
- Didatangkan dalam Kotak Rekaan Loid khas yang mengandungi satu sarung komputer riba 14 inci, satu pemegang telefon akrilik Loid dan pelekat kalis air lentikular Loid.

2. Yor Collection

guardian-spxfamily-limited-edition-set-collection-2024-Yor-Briar-Forger

- Sempena watak ibu dalam siri anime tersebut. 
- Bernilai RM199
- Boleh didapati mulai 11 Januari 2024 sehingga 24 Januari 2024
- Didatangkan dalam Kotak Rekaan Yor khas yang mengandungi satu uncang Yor Beauty, satu rantai kunci akrilik Yor beserta cermin dan pelekat kalis air lentikular Yor.

3. Anya Collection  

guardian-spxfamily-limited-edition-set-collection-2024-Anya-Forger

- Sempena watak anak perempuan dalam siri anime itu. 
- Bernilai RM230 
- Boleh didapati 25 Januari 2024 hingga 7 Februari 2024 
- Didatangkan dengan Kotak Rekaan Anya khas mengandungi satu fail Anya bersaiz A4, satu kotak puzzle 500 keping Anya, satu pek kad permainan memori Anya dan pelekat kalis air lentikular Anya.

4. Forger Series Collection

- Bakal dikeluarkan pada 28hb Februari 2024

Keempat-empat koleksi yang dikeluarkan secara berperingkat ini boleh dimiliki dengan harga RM99 sahaja dengan PwP (Purchase with Purchase) dengan pembelian minimum RM20 dengan jenama terpilih atau RM50 dengan jenama yang lain dalam satu resit.

Jenama terlibat dalam PwP ini ialah Aiken, Bio Essence, Lóreal Dermo-Expertise, Eucerin, Garnier, Lóreal, Maybelline, Nivea Skin dan Sunsilk

Anna Ng, Pengarah Pemasaran, Guardian Malaysia berkata,“Ini adalah peluang keemasan untuk mengumpul beberapa koleksi edisi terhad yang hebat daripada salah satu siri manga dan anime paling popular pernah dihasilkan di Jepun, yang mungkin boleh menjadi barangan kegilaan pengumpul di masa hadapan. Lebih menarik, ia juga memuatkan barangan praktikal yang menepati gaya hidup aktif pelanggan kami. Jadi segeralah berkunjung ke stor Guardian berdekatan anda untuk mendapatkan set koleksi istimewa ini sebelum terlambat."

Sementara itu juga, telah berlangsung pelancaran koleksi ini di MyTown Cheras yang mempamerkan ketiga-tiga koleksi terawal Guardian SPYxFAMILY, promosi Guardian lain, pertandingan pakaian Cosplayer terbaik dan ruangan bergambar bersama mock up SPYxFAMILY yang menarik. Boleh lihat video di bawah:



Jom dapatkan keempat-empat koleksi terhad Guardian SPYxFAMILY yang menarik ini di stor Guardian berdekatan anda atau stor Guardian atas talian sekarang!

#GuardianMYApp
#guardianMy
#guardianspyxfamily

Wednesday 3 January 2024

Review Filem Pendekar Awang - Darah Indera Gajah

2hb Januari 2024, Putrajaya - Tayangan Perdana dan Pra Tonton media filem Pendekar Awang - Darah Indera Gajah telah berlangsung di GSC East Wing, IOI City Mall. Saya turut bertuah menjadi salah seorang penonton terawal. Maka boleh lah saya membuat review sebelum tayangan rasmi mendatang.

review-filem-pendekar-awang-darah-indera-gajah
Poster rasmi

Bagi filem ni, cerita dia memang fokus kepada Awang iaitu adik Mat Kilau yang dilakonkan oleh Fattah Amin. Cerita ni mengambil tempat selepas penentangan terakhir dalam filem Mat Kilau. Masa ni Mat Kilau dah pergi tempat lain, tinggal lah beberapa orang termasuk si Awang yang masih kat Kampung. Masa ni si Awang ada isteri iaitu si Sayang yang dilakonkan oleh Fazura.

Sinopsis dia kurang lebih je dengan Mat Kilau. Lawan British di Pahang. Cuma bezanya filem ni ada sedikit jalan cerita pembesar Pahang, Tok Gajah nak minta tolong pembesar negeri lain. British nak halang lah plan pembesar ni. Si Awang ni pula macam trauma kawan dia banyak mati tu yang bawa diri, itu lah permulaan cerita dia. Filem Pendekar Awang ni ialah 'spin-off' bagi Mat Kilau dan lebih fiksyen berbanding sejarah. Penerbit pun kata filem ni nak meraikan pendekar yang tak disanjung gitu.

Jadi, awal-awal nak tengok filem ni jangan set kan filem sejarah. Anggap je filem fiksyen yang berinspirasi sejarah okie.

Ini REVIEW Filem Pendekar Awang - Darah Indera Gajah:

Jalan cerita

Filem yang berdurasi 110 minit ini jalan ceritanya macam Mat Kilau. Bagi saya tiada masalah sebab berinspirasikan sejarah lawan British yang orang memang dah tahu. Cumanya agak mendatar sedikit berbanding filem sebelumnya. Lebih 'straight forward' tak ada kona-kona. Boleh diagak lah kejadiannya macam mana. Begitulah ceritanya.

Awal-awal tu meremang sebab rasa ada tribute sikit terhadap apa yang terjadi di Palestin. Kita boleh bayangkan dulu kita berperang dengan penjajah sampai semua orang terbunuh tak kisah budak-budak. Sekali menjajah, memang tak boleh bagi muka dekat depa. Lepas tu ada cerita pasal iluminati sikit awal-awal. Macam tiberrr sangat. Nasib sekejap je kalau tak rasa macam tak perlu ada pun tak apa.

Cerita ni pun saya rasa ada beberapa babak eh tiber. Ha gitu lah. Saya ni bukan orang filem pun, tapi sebagai penonton biasa, begitu lah apa yang saya rasa waktu menonton Pendekar Awang. Walaupun macam tiber, ada je babak yang saya suka macam buatkan saya meremang wow gitu. Babak yang wahhh kepahlawanan saya diseru. Menarik jugak. 

Sinematografi

Filem Mat Kilau lagi cantik la. Tone warna yang ada di Pendekar Awang kurang sikit tapi ada jugak yang lawa, tak konsisten lah senang cerita. Untuk props, latar belakang semua pun agak kurang. Dulu kita boleh nampak kampung seluas-luasnya, kali ni kampung di rakam jarak dekat sikit. Rumah pun rakam dekat-dekat. Ah susahlah nak bagitau, tu la yang saya rasa. 

Waktu dalam hutan pun, saya pun boleh tengok hutan tu berbeza-beza. Sebab hutan ni tak ada lah landai sebelah bukit sebelah-menyebelah, begitu juga dengan pokok. Pokok sini buluh tiba-tiba pokok sebelah pokok hutan. Sekejap tebal sekejap nipis je hutannya. Ha tiber gitu. 

Baju pun....hmmmm. Baju watak wanita yang lepas dikritik pakai inner tudung sebab orang melayu dulu tak ada inner. Sekarang macam bergetah gitu tudungnya dan baju tak nampak kemelayuan bagi srikandi. Latar belakang wanita lain ada lah nampak sikit-sikit walaupun mata saya nampak je perempuan pakai tudung bawal. Kalau boleh pemilihan baju untuk lain kali lebih diperbaiki sebab ada je wanita melayu zaman dulu berkubung. 

Bagi ni saya tak nak lah sentuh lebih-lebih sebab saya pun tabik juga terhadap Studio kembara sebab mereka nak menjaga aurat pelakon dan nak menghasilkan lakonan yang lebih islamik. Bagi orang Islam, hargailah ada penerbit yang nak jaga benda-benda macam ni. Jangan terlalu kritis bahagian ini. Kita tak mampu jaga, itu hal kita, tapi jangan lah sesekali kita nak pertikaikan keputusan orang lain nak jaga agama mereka. Okay ye!

Tapi nak bagitau juga, ada pakaian tak serupa orang Melayu juga bagi yang lelaki. Lepas tu senjata Melayu tu ada yang tak nampak kemelayuan. Ambil daripada mana-mana asal nampak lah kot. Ha yang ni, ikutkan walaupun cerita ni fiksyen, haruslah penerbit usaha lebih dalam mengkaji senjata dan budaya orang Melayu agar ditampilkan lebih baik. Sebab filem ni banyak memanah, guna lah panah dan busur Melayu jangan lah guna Arab punya. Ini nak husnuzon tu susah sikit. Hehe.

Baru lah seiring dalam menghargai pahlawan yang tak didendang bersama warisan melayu yang hampir pupus. Fiksyen berasaskan sejarah harus meneliti bahagian sejarah agar bangsa Melayu tidak kekeliruan identiti.

Cerita ni jugak yang saya perasan, sambungan antara babak pun macam terputus tiba-tiba. Ada yang babak berlawan dah syok tengok tiba-tiba habis. Hahaha. Ada yang belum sempat meremang, tertukar dah babak lain. Begitulah. 

Bahasa

Filem lepas menampilkan bahasa lama tapi bukan klasik. Lepas tu banyak yang macam ceramah meleret panjang-panjang. Kali ni penerbit ambil semua ulasan dan menjadikan bahasa yang digunakan dalam Pendekar Awang ni lebih santai. Penerbit ambil keputusan untuk ambil jalan tengah.

Pro: Tak terlalu meleret walaupun ada beberapa masih berpuitis yang masih boleh diterima. Saya dah boleh dengar beberapa dialek negeri masing-masing, yang lepas tak sangat. Lebih santai dan dapat diterima. Baru rasa tengok filem dekat di hati.

Contra: Tak konsisten. Ada yang masih bahasa lama, ada yang bahasa moden, ada yang bahasa bercampur. Bila saya dengar, terpotong rasa kepahlawanan saya disitu. Haha. 

Bahasa moden tu je yang patut tak ada. Lain dah okay dah.

Watak

Awang

Awang yang dilakonkan oleh Fattah Amin kali ni nampak pembentukkan karakter berbanding dulu. Sejenis tak matang mudah melatah. Kali ni pun awal-awal cenggitu juga, tapi berkembang menjadi seorang yang boleh memimpin. 

review-filem-pendekar-awang-darah-indera-gajah

Filem Mat Kilau lepas menampilkan si Awang sebagai anak tengah ni memang jenis degil piang sikit. Haha. Bab skil antara yang yang saya paling suka sebab ada bersilat, memanah dan berparang. Saya tau penerbit mesti gembira dengar watak Awang berpanah kena puji, sebab tu la cerita kali ni memanah je kerja si Awang. Seperti sudah terlupa si Awang ni pun ada skil bersilat dan main parang yang hebat.

Geramnya watak si Awang ni, penerbit nak tolak dia sebagai peranan utama seperti Mat Kilau. Bagi saya TIDAK! Awang ialah Awang. Awang ada aura dia sendiri. Seorang yang keras kepala bagai. Hujung-hujung tu dah serupa abang dia bermadah pujangga. Gituh. 

Brahim

Brahim yang dilakonkan oleh Ali Karimi ni memang antara watak yang saya suka teruja nak tengok sebab pelakon ni pelakon baharu dan penggiat seni silat sebenar. Filem lepas saya ada komen, kenapa lah sia-siakan bakat dia yang pandai bersilat dan pandai berlakon, kali ni Brahim punya watak ada banyak babak. Siap ada babak berlawan fokus kat dia je. Yeayy!

review-filem-pendekar-awang-darah-indera-gajah

Walaupun dah banyak pertambahan babak, saya rasa pun masih kurang sebab Brahim ni antara yang teratas juga dalam pahlawan yang ada masa tu sebab dia pun anak Tok Gajah dengan skil set serupa abang-abang dia. Patut bagi  lebih lagi babak si Brahim dan menampilkan silat Melayu sebenar.

P/s: Penerbit hantar pelakon berlatih silat kat Indonesia dengan kareografi silat pun ambil dari sana. Kenapa kah? Saya pun tak tahu. Kita ada silat kita sendiri, kita kena utamakan silat kita terlebih dahulu. Sebab tu saya nak tengok Brahim ni sebab dia betul-betul pesilat kenalah tunjukkan bakat dia kan!

Tok Gajah

Tok Gajah punya babak paling sempoi dalam cerita ni. Suka tengok. Babak dia menjawab orang putih tu fuiyoh, padat mampat dan 'straight to the point'. Cerita ni nampak Tok Gajah sebagai pemimpin. Si Awang merajuk pun dia sempoi. Dia rapat dengan Brahim pun sempoi je tak pilih kasih. 

review-filem-pendekar-awang-darah-indera-gajah

Ini baru Tok Gajah!

Kapten Syers

Kapten Syers dah kurus kat dalam cerita ni. Haha tiba-tiba dia nampak segak. Tak de nak kata apa, cenggitu je lah perangai penjajahnya. Babak yang ada dia, memang dia je lah bintang utama babak tu. Kalau dia tak ada, tak seronok filem universe Mat Kilau ni.

Sayang

Sayang yang dilakonkan Fazura ni isteri si Awang, anak si Haji Sulong. Dia ni ketua srikandi. Srikandi dalam cerita ni pakar memanah, berkuda serta ada juga skil silat dan berparang yang lain. Jadi skil set dia ni macam si Awang lah. Cerita ni kan, Sayang cakap bahasa moden sangat. Berlakon dah padu, bila berdialog, saya rasa terbantut sedikit. Hehehehe. Tak tau kenapa pengarah nak macam ni.

review-filem-pendekar-awang-darah-indera-gajah

Tapiiii, bagus watak Sayang ni. Dia ketua srikandi. Hengat perempuan melayu tak boleh memimpin, tak bijak? Ha kat sini perempuan melayu ni lah bersama-sama lelaki melayu mempertahankan tanah air. Kadang-kadang tengok aura kepimpinan Sayang tu pun boleh kalahkan si Kodi bagai. Paling suka nampak dia sokong si Tahir dalam permodenan senjata bagai. 

Haji Sulong

Bapak si Sayang yang juga merangkap bapak mertua si Awang. Mula-mula hilang ingatan kejap yang si Awang ni anak Tok Gajah. Macam Haji Sulong ni pula bapa si Awang. Siapa yang tak tengok cerita Mat Kilau atau tak tau Awang ni adik Mat Kilau, mesti akan ingat Haji Sulong ni bapak dia. Mana kan tidak, dia layan si Awang macam anak sendiri merajuk-rajuk gitu, Tok Gajah bapak kandung si Awang pun sempoi je. Lagipun, Haji Sulong ni kurang interaksi bersama si Tahir dan si Sayang. Siap tak yakin dengan kebolehan si Tahir pula tu. Kesian.

Ada beberapa babak si Awang, Tahir dan Haji Sulong, nampak Awang ni rapat lagi dengan bapak mertua dia dan bapak mertua dia pun banyak nak cari si Awang. Tu yang saya boleh lupa tu. Nasib baik ingat balik yang Haji Sulong ni bukan Tok Gajah.

Jalak

Ni si barua Jalak ni benci gila nak tengok dia. Orang melayu mengalahkan penjajah perangainya. Dah lagi jahat dari si Kapten Syers lagi. Dia ni tali barut jugak lah. Siap ada pembantu lagi tiga orang. Dah serupa Kapten Syers versi orang melayu. 


Baju dah lah penjajah, perangai pun penjajah. Watak ni antara watak tambahan yang saya suka ada kat dalam Pendekar Awang ni. Tapi saya tak tau mana asal usul Jalak ni. Saya tahu dia ada je dalam filem ni buat jahat. Haha.

Tahir

Tahir ni antara watak kegemaran terbaharu saya. Dia ni adik si Sayang. Kenapa saya suka dia ni? Sebab dia ni lah tabib cina, pakar buat senjata bom, buat perangkap dan buat segala racun-racun. Pandai juga silat guna senjata bagai. Dalam ni dia muda polos, si Awang nampak dia ni ada potensi tu yang berkepit dengan si Awang tu. Pandailah pelakon ni bawa watak si Tahir, memang natural polos-polos gitu. Walaupun watak fiksyen, Tahir ni boleh maju kedepan. Dia macam simbol pahlawan baharu berfikiran moden gitu.

Nadim

Nadim ni pun sama macam si Tahir saya rasa. Antara simbol pahlawan baharu. Tahir lebih kepada pemikiran dan gaya moden, Nadim pula kepada pelapis pahlawan yang berbudaya melayu begitu. Nadim ni dari awal sampai habis ada perkembangan watak. Cucu penghulu yang mula-mula polos berubah menjadi seorang pendekar muda. Ada potensi jugak watak ni.

Watak Cameo dan Lain-Lain

Dalam Pendekar Awang ni banyak watak cameo macam Mawi dan Faizal Tahir. Masa tengok pun rasa teruja gitu. Selebihnya watak dari filem Mat Kilau yang lain cuma sekejap-sekejap je. 

Lepas tu watak Srikandi pun menarik juga. Tapi jangan komen baju ye. Haha. Ada lagi watak pahlawan dari negeri lain, Jalak dan pembantunya, tentera upahan Sikh dengan cerita tersendiri pun menambah rasa. Watak sampingan tak malap, tapi tak terlalu menonjol. Baru menengok cerita macam ada kehidupan lain juga~

Ulas mengenai watak ni, saya rasa penerbit kena tonjolkan dan kuatkan lagi watak yang sedia yang berkait dengan Mat Kilau sendiri contohnya Brahim daripada perkenalkan watak baharu dengan banyak babak seperti Sayang, Tahir dan Andak. Brahim contohnya lebih dekat dengan universe Mat Kilau itu sendiri. Mungkin sebab pelakon lain lebih terkenal, watak yang jauh sikit pun nampak lebih cuba di 'highlight'. 

Bunyi macam bias kat Brahim tapi sudah tiba masa Brahim punya cerita pula. Lagipun Brahim pula dilakonkan oleh pesilat betul-betul. Boleh tunjukkan persilatan dunia melayu pula. Awang pun sudah, tinggal adik dia paling muda ni lagi. 

Sambung ulasan...

Filem ni rasa macam cepat-cepat nak siap rasanya disebabkan oleh pengguguran pengarah saat akhir. Dalam 30% juga karya pengarah terdahulu digunakan untuk filem ini. Boleh rasa lah bila tonton filem ni tak seteliti dulu. Lepas tayangan pun baru dapat tahu pengarah digugurkan bagai. Memang tak bias pun cuma terasa sendiri, haha. Hatta tengok drama orang putih pun kita dapat rasa musim yang mana yang seronok dan musim mana yang kurang kannn.

Bagi saya sayanglah, sebab watak Awang dan Brahim sebagai adik Mat Kilau ni ada potensi cuma bila ada berlakunya konflik dalam studio sampai menggugat kualiti filem ni tak seronok lah. Nak buat balik dah menelan kos sampai 10 juta bagai. Kena tampal mana yang tak habis juga tu yang menelan belanja sampai 15 juta akhirnya.

Sebelum nak menamatkan review, kena puji sikit penerbit Studio Kembara ni sebab mereka mendengar segala ulasan yang disampaikan. Dah tak ada dah babak berlawan gegar-gegar, tak ada banyak dialog macam ceramah dan sebagainya. Jika ada lagi filem yang bakal diterbitkan untuk universe Mat Kilau, semoga kualiti filem tu makin bertambah mutu. Saya cuma berharap untuk filem mendatang agar kajian terhadap budaya Melayu lebih ditampilkan dengan sebaiknya. Itu sahaja.

Walaupun tak seheboh Mat Kilau, Pendekar Awang ni pun ada tarikan tersendiri. Masih boleh ditonton dengan seronok dengan beberapa penambahbaikkan daripada pihak penerbit. Tonton lah video trailer Pendekar Awang - Darah Indera Gajah untuk ambil mood okay!

Trailer rasmi Pendekar Awang - Darah Indera Gajah

Jom pakat-pakat tonton Pendekar Awang - Darah Indera Gajah di pawagam berdekatan anda bermula 11hb Januari 2024 nanti! 

Peringatan: JANGAN BAWA ANAK KECIL sebab banyak babak ngeri pembunuhan.




Thursday 21 December 2023

Pembukaan Semula Pasaraya dan Medan Selera Delicatessen AEON Mid Valley - Lebih Luas, Lebih Selesa dan Lebih Cantik!

21 Disember 2023, Kuala Lumpur - AEON Mid Valley telah membuka semula pasaraya dan ruangan medan seleranya pada hari ini setelah membuat pengubahsuaian selama berminggu lamanya. Pembukaan ini juga telah memberi lebih keselesaan buat pengunjung yang ingin membeli-belah di pasaraya dan membeli makanan di ruang medan selera Delicatessen. Saya sendiri dah jejak kaki pada hari pertama perasmian pembukaan hari ini.

Jom saya ceritakan apa yang saya alami sendiri!

Pasaraya AEON Mid Valley dan pengenalan barangan rumah jenama sendiri Hóme Cóordy

Sebenarnya AEON ada pelan untuk mengubahsuai semua tingkat mereka di Mid Valley. Pengubahsuaian dimulakan dari tingkat bawah dahulu iaitu bahagian pasaraya dan ruang makan. Pasaraya dibuat lebih teratur, bersih, pengenalan bahagian baharu dan penambahan kaunter 'self check out'.

*Pasaraya dengan estetik menarik serta bahagian yang disusun atur lebih bagus

AEON ni dari dulu lagi nampak teratur je, tapi mereka tetap nak ubah suai bagi lebih elok. Apa yang paling ketara ialah susunan bahagian barang basah dengan penampilan lebih teratur, bersih dan ada segmen organik dan sebagainya. Dulu kat bahagian ikan kat AEON Mid Valley ni, lantai kadang-kadang basah lepas tu ikan macam satu kat sana satu kat sini. Sekarang ni boleh nampak teratur siap menarik pula mereka susun ikan bergaya kat bucu tu, Haha.

Kreatif pula AEON ni nak susun ikan macam ni ya! Comel!

Lepas tu ada bahagian Topvalu sendiri yang lebih teratur. Saya sendiri pun suka juga beli jenama makanan Topvalu yang jual bahan dari Jepun sebab lebih mampu milik. Jadi senang nak cari lepas ni. Bahagian lain tak perasan lah apa yang berubah sebab dari dulu nampak elok je.

*Pengenalan jenama sendiri Hóme Cóordy di AEON Mid Valley

Kita sering dengar Topvalu, kini ada satu lagi di bawah jenama ini iaitu Hóme Cóordy yang berfokuskan kepada barangan rumah seperti tuala, bakul, bekas peyimpanan makanan, penggantung baju, bantal dan sebagainya.

Dah boleh beli barang rumah konsep muji dekat AEON sendiri.

Rekaan dan konsep barangan Hóme Cóordy ini lebih kepada konsep muji yang terkenal di Jepun iaitu tema dengan paduan warna putih dan warna natural dengan suntikan konsep industri. Dengan adanya jenama Hóme Cóordy ini, bolehlah kita miliki barangan rumah konsep muji yang dengan harga lebih mampu milik.

*Kaunter 'self check out' yang lebih banyak

Memandangkan AEON Mid Valley ni banyak pengunjung, kaunter pembayaran yang dibuka sering penuh. Oleh itu dengan pengenalan kaunter 'self check out' yang lebih banyak memudahkan pengunjung membayar barangan mereka sendiri. Sesuai juga bagi yang ingin membeli sedikit barang dan tidak suka berinteraksi dengan orang lain.

Kaunter 'self check out' AEON Mid Valley banyak dan kawasan pun luas.

Seronoknya kat ruangan kaunter 'self check out' di AEON Mid Valley ini ialah kawasannya luas tak perlu bersesak-sesak dengan pengunjung lain meskipun terdapat 10 kaunter di sini. Antara lain, sistem yang digunakan juga senang, mudah dan laju 

*Promosi barangan di AEON Mid Valley

Sempena pembukaan semula pasaraya AEON Mid Valley ni, AEON ada buat promosi khas yang ada kat cawangan ni sahaja. Promosi ini berlangsung selama 12 hari dari 21hb Disember sehingga 1hb Januari 2024.

Boleh rujuk kat gambar yang saya sertakan di bawah ya!

promosi-pembukaan-semula-aeon-mid-valley-delicatessen-la-boheme-food-court

promosi-pembukaan-semula-aeon-mid-valley-delicatessen-la-boheme-food-court

promosi-pembukaan-semula-aeon-mid-valley-delicatessen-la-boheme-food-court

promosi-pembukaan-semula-aeon-mid-valley-delicatessen-la-boheme-food-court

Bukan selalu AEON buat promosi barangan macam ni lagi-lagi dengan ekonomi yang membuatkan air mata sering menitis ni. Eloklah rembat promosi ni selagi masih berjalan ya.

Pembukaan semula Medan Selera atau Food Court AEON Delicatessen

Akhirnyaaaa, yang ditunggu-tunggu oleh saya sudah buka iaitu Medan Selera di AEON Mid Valley. Dulu medan selera ni tak luas sangat, jalan antara AEON dan AEON BiG sempit je. Tiap lalu je rasa macam jalan kat pentas peragaan, kiri kanan ada penonton. Begituuu sekali yaaaa. Sekarang bila dah buat ubah suai, terus lapang terbuka jalan siap banyak lagi tempat duduk. Tempat duduk lawa pulak tu terang benderang. Cantik dan selesa lagi.

Cantik kan ruangan baru? Lebih cerah berbanding dulu juga.

Sebelum ni ada beberapa je pilihan gerai makanan tak termasuk  AEON punya. Sekarang ada dalam 10 gerai makanan ditambah. 

Ini senarai gerai yang ada tidak termasuk AEON (La Boheme, Sushi, Coco Cafe dan sebagainya):

1) Pinggan Panas
2) Kakak (Jual bento korea)
3) Delightful Dessert
4) The Roast Bebek (Kedai nasi itik)
5) Bawang Merah Putih (Makanan Indonesia)
6) Ken-chan Curry (Nasi kari Jepun)
7) Ta-daa Box (Jual minuman yang ada kejutan, hampir nak buka!)
8) Penang Chendul
9) Pak Abu Yong Tau Foo
10) Selera Wok & Grill
11) Vegelicious Jr. (Kedai vegetarian kegemaran)
12) Portuguese Grill Fish BBQ

Antara beberapa gerai makanan yang ada di Medan Selera Delicatessen.

Beberapa gerai di atas turut melakukan promosi pembukaan masing-masing, jadi waktu ni la kena pergi belanja diri sendiri atau orang yang tercinta, boleh jimat banyak tau. Selain gerai makanan kat medan selera Deliactessen, jangan dilupakan jenama La Boheme dan ruangan makanan lain sebab ada juga promosi khas yang diberikan kepada pengunjung sempena pembukaan.

Benda yang buatkan saya suka beli makanan kat sini ialah Delicatessen AEON Mid Valley ada kaunter 'self check out'. Ini sangat membahagiakan sebab tak perlu beratur kat kaunter bayaran. Cumanya, makanan dan minuman yang ada kod bar je lah boleh imbas kat sistem. Haha.

Setakat makanan siap bungkus, makanan yang boleh ditimbang dan minuman dalam botol boleh pergi ke kaunter 'self check out' tapi minuman bancuh kat Coco Cafe kena buat pesanan manual dan bayar kat kaunter mereka sendiri. Sama juga dengan makanan cucuk-cucuk oden, cucuk-cucuk lain nak tak nak kena pergi ke kaunter untuk bayar, kalau ada ruang kira sendiri baguskan. Haha. Walauapapun, lebih baik ada kaunter ni berbanding tak ada, tetap jimat masa!

Jangan juga dilupakan makanan daripada AEON sendiri.

Secara keseluruhan lah, saya sendiri suka ke medan selera AEON Mid Valley ni sebab tak perlu nak fikir susah-susah kalau nak cari makanan sebab banyak benda lagi-lagi bila jalan dengan ramai orang yang bermacam-macam nafsu makan ada. Pening nak itu pening nak ini, ha pergi je lah medan selera AEON. Makan lah apa suka tak perlu nak ada sesi gaduh rujuk sampai poket koyak, senang kannn!

Jom lihat promosi apa yang ada untuk bahagian makanan pula yang turut berlangung selama 12 hari bermula 21hb Disember 2023 hingga 1hb Januari 2024!

promosi-pembukaan-semula-aeon-mid-valley-delicatessen-la-boheme-food-court

promosi-pembukaan-semula-aeon-mid-valley-delicatessen-la-boheme-food-court

IWATE Fair di AEON Mid Valley

Sempena pembukaan semula AEON Mid Valley, AEON mengambil kesempatan ini untuk mengadakan IWATE Fair yang telah pun berlangsung di hadapan pasaraya AEON Mid Valley. IWATE Fair ini menjual serta memperkenalkan barangan hasil daripada Wilayah Iwate dari Jepun. Iwate yang terletak berdekatan dengan laut ini terkenal dengan makanan laut seperti ikan tuna, ikan-ikan kecil, kerang, telur ikan dan sebagainya. Produk makanan laut dari Itawe sejukbeku juga dijual di sini. Import terus dari Jepun tau!

Pemandangan hadapan IWATE Fair.

Walaupun berdekatan dengan laut, Iwate juga terkenal dengan daging lembu Wagyu A5! Oleh itu di IWATE Fair ini anda boleh mendapatkan daging wagyu A5 pelbagai potongan dengan harga yang lebih rendah daripada pasaran. Lebih mengujakan, AEON turut berbesar hati dengan menjual Wagyu A5 panggang di IWATE Fair buat pengunjung dengan harga yang berpatutan. RM20 untuk secucuk dan RM38 untuk dua cucuk. Daging dipanggang boleh terus makan kat situ atau boleh bawa balik, tapi makan panas-panas tak kongsi tu la paling nikmat sebenarnya, hahaha.

Bagi saya, rasa Wagyu Cucuk kat sini lebih garing dan diperasa secukupnya. Masa panggang tu, mereka bubuh 'Flavoured Pepper' Ajinomoto. Itu aje tak de lain. Jadi daging tu lebih sedap di makan tanpa terasa muak memandangkan Wagyu ni pun memang jenis berlemak gitu. Menyesal tak beli dua tiga empat waktu kena belanja tadi. Sekarang terbayang dah. Hmmm.

Di Instagram saya ada muat naik satu reel makan daging wagyu ni. Boleh klik link di sini kalau nak tengok. Tolong bagi like sikittttt.

Bau panggang ni memikat!

Lebih menarik lagi, terdapat produk dari wilayah ini juga turut dijual di Iwate Fair seperti buah epal, mochi, ramen pelbagai jenis, snek dan beberapa jenis produk lagi. Semuanya didatangkan terus dari Iwate sendiri. Oh, ada produk yang tak halal ye seperti ramen tapi diasingkan. Namun jangan risau, kebanyakkannya halal termasuk Wagyu tu. Tak pasti boleh tanya promoter ya.

Antara produk dari Wilayah Iwate.

Akan berlangsung juga di IWATE Fair ini ialah ada Persembahan Menakjubkan Pemotongan Tuna Bluefin dan Daging Wagyu pada 23hb Disember masing-masing pada pukul 1.30pm dan 1.50pm. IWATE Fair ini berlangsung sehingga 26hb Disember sahaja tau. Jadi boleh dapatkan produk premium dengan harga istimewa dan merasai Wagyu A5 cucuk cepat-cepat ya.

Jom lihat video TikTok di bawah untuk melihat serba sedikit hari pertama pembukaan AEON Mid Valley Supermarket dan Medan Selera Delicatessen.

@zandra.zane

AEON Mid Valley Supermarket dan Delicatessen Food Court dah renovate dah.😍😍 Bacaan lanjut di thirteenpersona.blogspot.com okie!❤️

♬ Daydreamin speed up - 🪽


Makin menarik dan meriah lah AEON Mid Valley ni. Jom lah ramai-ramai ke AEON Mid Valley ni dan dapatkan harga promosi dan penjimatan ketika hari perayaan mendatang dan tahun baru 2024!


Tuesday 19 December 2023

Guardian Ganda Sasaran 40 Juta Sumbangan Mandian Untuk Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik Bagi 2024

Petaling Jaya, 15 Disember 2023 - Guardian hari ini mengumumkan kejayaannya mencapai sasaran untuk menyediakan 20 juta mandian kepada kanak-kanak kurang bernasib baik pada tahun 2023 di bawah kempen Tanggungjawab Sosial Korporat serantaunya iaitu “Bersama, Menjaga Kebersihan dan Kesihatan Kanak-Kanak”.


Mengaitkan pencapaian bersejarah ini dengan sokongan kuat yang diberikan oleh pelanggannya terhadap kempen itu, Anna Ng, Pengarah Pemasaran, Guardian Malaysia berkata, “Kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada para pelanggan yang telah membantu kami meraih pencapaian 100% dalam menyediakan 20 juta mandian untuk kanak-kanak kurang bernasib baik di rantau ini, khususnya Malaysia, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Kemboja untuk 2023. Lebih 40,000 mandian telah disumbangkan kepada kanak-kanak di Malaysia pada 2023.

guardian-sasar-40-juta-sumbangan-bersama-guardiancares-yayasan-sunbeams-home-petaling-jaya
Sumbangan Mandian di Yayasan Sunbeams Home Petaling Jaya

“Hasil daripada pencapaian ini, sasaran kami untuk 2024 bakal digandakan menjadi 40 juta mandian - dua kali ganda berbanding tahun lalu.”

Program “Bersama, Menjaga Kebersihan dan Kesihatan Kanak-Kanak” Guardian mengiktiraf bahawa semua orang berhak untuk menjadi bersih dan sihat dan ia adalah hak asasi setiap manusia.

“Menjaga kebersihan dan kesihatan adalah hak asasi segenap masyarakat dan ia tidak boleh dianggap sebagai kemewahan, terutama untuk kanak-kanak. Kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah sangat terdedah kepada pelbagai risiko. Di samping itu, kami juga percaya bahawa apabila kanak-kanak berasa bersih dan wangi, ia akan menambahkan keyakinan diri serta meningkatkan kesejahteraan mental mereka.” tambah Ng.

Selain menyediakan produk penjagaan mandian, Guardian juga akan menganjurkan Bengkel Kebersihan Interaktif di sekolah-sekolah di mana pelajar akan diajar tentang amalan kebersihan yang baik.

Di bawah kempen ini, 15 sen daripada setiap liter produk penjagaan mandian Guardian yang dijual di Malaysia akan disumbangkan untuk membeli produk mandian untuk kanak-kanak kurang berkemampuan ini. Selain itu, patung beruang Guardiancares akan dijual pada harga
RM29.90 sahaja. Untuk 2024, Tuala Berhud Beruang Guardiancares istimewa juga akan dijual pada harga RM29.90 di semua stor Guardian di seluruh Malaysia, juga boleh dibeli menerusi stor dalam talian dan aplikasi mudah alih Guardian. Semua hasil jualan Patung dan Tuala Berhud Beruang Guardiancares akan disalurkan ke dana #guardiancares untuk menyokong keperluan penjagaan mandian kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia.

guardiancares-bear-towel-hud-price-donation
Tuala berhud Guardiancares Bear dan Guardiancares Bear yang bernilai rm29.90 setiap satu.

Sempena pengumuman ini, Guardian turut menyumbangkan produk mandian kepada kanak-kanak Yayasan Sunbeams Home di Petaling Jaya. Mereka adalah penerima sumbangan pilihan pemenang peraduan Face of Healthy Beauty Guardian 2023, Kay Yap Yen Yin. Salah satu daripada hadiah yang dimenangi oleh pemenang ialah sumbangan produk Penjagaan Mandian Guardian bernilai RM5,000 kepada pertubuhan kebajikan pilihan mereka.

kay-yap-yen-yin-guardian-winner-yayasan-sunbeams
Kay Yap memilih Yayasan Sunbeams Home sebagai pilihan sumbangannya.

Kay berkata, “Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan kesukaran kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan saya berharap lebih ramai kanak-kanak mendapat akses kepada keperluan penjagaan diri yang berkualiti dan mendapat maklumat tentang kesihatan dan kebersihan yang boleh mengurangkan masalah kesihatan yang boleh dicegah secara berkesan. Secara peribadi, saya mengalami ruam kulit (di dahi dan jari kaki) semasa di bangku sekolah kerana mengabaikan rutin kebersihan kulit yang betul. Saya hanya mengamalkan tabiat kebersihan diri yang betul selepas mendapati kulit muka saya bermasalah.”

Fasa kedua #Guardiancares “Bersama, Menjaga Kebersihan dan Kesihatan Kanak-Kanak” akan bermula pada 27 Disember 2023.

“Kami sangat berharap agar pelanggan kami akan terus menyokong kempen yang terpuji dan bertepatan dengan keadaan ekonomi semasa yang mencabar ini, dan kami berharap usaha kami akan terus memainkan peranan utama dalam menjaga kebersihan dan kesihatan kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia dan di seluruh rantau ini,” kata Anna mengakhiri.