Tuesday 19 December 2023

Guardian Ganda Sasaran 40 Juta Sumbangan Mandian Untuk Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik Bagi 2024

Petaling Jaya, 15 Disember 2023 - Guardian hari ini mengumumkan kejayaannya mencapai sasaran untuk menyediakan 20 juta mandian kepada kanak-kanak kurang bernasib baik pada tahun 2023 di bawah kempen Tanggungjawab Sosial Korporat serantaunya iaitu “Bersama, Menjaga Kebersihan dan Kesihatan Kanak-Kanak”.


Mengaitkan pencapaian bersejarah ini dengan sokongan kuat yang diberikan oleh pelanggannya terhadap kempen itu, Anna Ng, Pengarah Pemasaran, Guardian Malaysia berkata, “Kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada para pelanggan yang telah membantu kami meraih pencapaian 100% dalam menyediakan 20 juta mandian untuk kanak-kanak kurang bernasib baik di rantau ini, khususnya Malaysia, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Kemboja untuk 2023. Lebih 40,000 mandian telah disumbangkan kepada kanak-kanak di Malaysia pada 2023.

guardian-sasar-40-juta-sumbangan-bersama-guardiancares-yayasan-sunbeams-home-petaling-jaya
Sumbangan Mandian di Yayasan Sunbeams Home Petaling Jaya

“Hasil daripada pencapaian ini, sasaran kami untuk 2024 bakal digandakan menjadi 40 juta mandian - dua kali ganda berbanding tahun lalu.”

Program “Bersama, Menjaga Kebersihan dan Kesihatan Kanak-Kanak” Guardian mengiktiraf bahawa semua orang berhak untuk menjadi bersih dan sihat dan ia adalah hak asasi setiap manusia.

“Menjaga kebersihan dan kesihatan adalah hak asasi segenap masyarakat dan ia tidak boleh dianggap sebagai kemewahan, terutama untuk kanak-kanak. Kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah sangat terdedah kepada pelbagai risiko. Di samping itu, kami juga percaya bahawa apabila kanak-kanak berasa bersih dan wangi, ia akan menambahkan keyakinan diri serta meningkatkan kesejahteraan mental mereka.” tambah Ng.

Selain menyediakan produk penjagaan mandian, Guardian juga akan menganjurkan Bengkel Kebersihan Interaktif di sekolah-sekolah di mana pelajar akan diajar tentang amalan kebersihan yang baik.

Di bawah kempen ini, 15 sen daripada setiap liter produk penjagaan mandian Guardian yang dijual di Malaysia akan disumbangkan untuk membeli produk mandian untuk kanak-kanak kurang berkemampuan ini. Selain itu, patung beruang Guardiancares akan dijual pada harga
RM29.90 sahaja. Untuk 2024, Tuala Berhud Beruang Guardiancares istimewa juga akan dijual pada harga RM29.90 di semua stor Guardian di seluruh Malaysia, juga boleh dibeli menerusi stor dalam talian dan aplikasi mudah alih Guardian. Semua hasil jualan Patung dan Tuala Berhud Beruang Guardiancares akan disalurkan ke dana #guardiancares untuk menyokong keperluan penjagaan mandian kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia.

guardiancares-bear-towel-hud-price-donation
Tuala berhud Guardiancares Bear dan Guardiancares Bear yang bernilai rm29.90 setiap satu.

Sempena pengumuman ini, Guardian turut menyumbangkan produk mandian kepada kanak-kanak Yayasan Sunbeams Home di Petaling Jaya. Mereka adalah penerima sumbangan pilihan pemenang peraduan Face of Healthy Beauty Guardian 2023, Kay Yap Yen Yin. Salah satu daripada hadiah yang dimenangi oleh pemenang ialah sumbangan produk Penjagaan Mandian Guardian bernilai RM5,000 kepada pertubuhan kebajikan pilihan mereka.

kay-yap-yen-yin-guardian-winner-yayasan-sunbeams
Kay Yap memilih Yayasan Sunbeams Home sebagai pilihan sumbangannya.

Kay berkata, “Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan kesukaran kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan saya berharap lebih ramai kanak-kanak mendapat akses kepada keperluan penjagaan diri yang berkualiti dan mendapat maklumat tentang kesihatan dan kebersihan yang boleh mengurangkan masalah kesihatan yang boleh dicegah secara berkesan. Secara peribadi, saya mengalami ruam kulit (di dahi dan jari kaki) semasa di bangku sekolah kerana mengabaikan rutin kebersihan kulit yang betul. Saya hanya mengamalkan tabiat kebersihan diri yang betul selepas mendapati kulit muka saya bermasalah.”

Fasa kedua #Guardiancares “Bersama, Menjaga Kebersihan dan Kesihatan Kanak-Kanak” akan bermula pada 27 Disember 2023.

“Kami sangat berharap agar pelanggan kami akan terus menyokong kempen yang terpuji dan bertepatan dengan keadaan ekonomi semasa yang mencabar ini, dan kami berharap usaha kami akan terus memainkan peranan utama dalam menjaga kebersihan dan kesihatan kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia dan di seluruh rantau ini,” kata Anna mengakhiri.

No comments:

Post a Comment