Tuesday, 7 November 2023

Stor Premium Guardian di Mid Valley lebih Luas, Canggih dan Interaktif

Kuala Lumpur, 1 November 2023 - Guardian Malaysia hari ini melancarkan stor utamanya yang serba baharu, tercanggih dan yang terbesar di Asia Tenggara, di Pusat Membeli-Belah Mid Valley, Kuala Lumpur.

guardian mid valley premium store

Peneraju rantaian runcit farmasi, kesihatan dan kecantikan terkemuka di negara itu telah mengukuhkan tawaran perniagaannya menerusi stor konsep unik seluas 7000 kaki persegi ini, memanfaatkan trend kesihatan dan kecantikan global
terkini, serta trend pengguna yang sentiasa berubah.

Priscilla Wu

Menjelaskan stor konsep baharu itu sebagai ‘revolutionary’ dan ‘evolutionary’, Priscilla Wu, Pengarah Urusan, Health and Beauty, Malaysia dan Brunei, berkata, “Pelanggan Guardian akan menikmati pengalaman membeli-belah yang serba baharu di stor premium utama baharu kami. Ia melambangkan pertumbuhan kukuh dan kejayaan berterusan jenama Guardian di Malaysia dan merupakan bukti komitmen
tanpa henti Guardian dalam menawarkan produk kesihatan dan kecantikan terbaik di pasaran pada nilai terbaik kepada pelanggan kami.

“Pelaburan kami dalam stor konsep baharu ini mewujudkan pengalaman membeli-belah yang unggul dan terbaik dalam kelasnya dengan kategori produk baharu yang telah berkembang seiring dengan permintaan dan trend baharu pengguna. Ia akan
memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih tersendiri, informatif dan interaktif kepada pelanggan. Kami juga akan memperkenalkan lebih 30 jenama penjagaan kulit dan kosmetik baharu ke stor kami, dengan 20 rangkaian penjagaan kulit dan lebih 10
jenama kosmetik baharu, yang mana kebanyakannya adalah eksklusif untuk Guardian.”

Jenama baharu itu termasuk jenama mandian Tanamera Natural, serta jenama penjagaan rambut eksklusif dari Jepun (Ahalo, Fun Azum, Theratis, Kose Bioless dan Kose Je L’aime) dan Korea (Mise En Scene dan Ryo).
Guardian Mid Valley Premium Store Facade
Susun atur stor dan penggunaan paparan LED dan Hologram sebagai navigasi

Susun atur stor utama Guardian yang unik akan menampilkan segmen produk baharu seperti ruangan Clean & Natural Beauty menampilkan produk penjagaan kulit, penjagaan rambut, dan kosmetik yang diformulasi menggunakan bahan selamat, bebas toksik dan mesra alam. Ruangan Tweens menampilkan produk kecantikan yang ceria, berwarna-warni serta selamat digunakan untuk pembeli muda berumur 8 hingga 12 tahun, manakala bahagian Salon-At-Home yang pertama seumpamanya dikuasai oleh L’Oreal menawarkan pelanggan pengalaman memanjakan diri yang mewah disamping menikmati rangkaian produk penjagaan rambut komprehensif yang disesuaikan mengikut keperluan unik mereka.

Turut dimuatkan adalah ruang Wellness di bahagian Penjagaan Kesihatan yang menumpukan kepada produk keperluan kesihatan dan kecerdasan pelanggan, seperti serbuk protein dan makanan kesihatan.

Stor ini bakal menjadi stor utama dalam sektor andalan Guardian pertama yang dilengkapi fasad berskrin
animasi LED, skrin paparan LED digital dinamik dan interaktif di seluruh stor dan dua tiang interaktif khas yang memaparkan maklumat produk interaktif menerusi hologram dan berfungsi sebagai tanda navigasi. 

Tiang hologram

Guardian Mid Valley LED Facade
Fasad papan muka hadapan stor Guardian berbentuk LED interaktif pertama seumpanya

Stor utama berkeluasan 7000 kaki persegi baharu itu juga akan mempamerkan konsep baharu daripada jenama penjagaan mulut, Oral B dan Sensodyne.
Sensodyne akan mempunyai paparan khas di Guardian Mid Valley dan pelanggan akan dapat melihat sendiri bagaimana ubat gigi #1 di Malaysia* dihidupkan menerusi paparan interaktif, memberikan kesedaran tentang sensitiviti gigi. Dengan 71% rakyat
Malaysia mengalami gigi sensitif, mereka kini boleh mengetahui lebih lanjut tentang bagaimana gigi sensitif boleh diatasi dengan varian Sensodyne.

*Berdasarkan Indeks Perkhidmatan Runcit untuk segmen Sensitif dalam kategori Ubat Gigi
bagi tempoh 12 bulan berakhir April 2023, untuk Total Malaysia Market. (Hak Cipta © 2023,
NIQ.)

Oral B pula akan membawa masuk pusat pengalaman ‘Powered Oral Care’ interaktif pertamanya dimana pelanggan boleh memanfaatkan program sensori untuk menyentuh, merasai dan membandingkan produk di kios digital yang turut menyediakan pendidikan tabiat kesihatan mulut untuk golongan dewasa dan kanak-kanak.

Untuk memberikan lebih ganjaran kepada pelanggan, untuk tempoh terhad sempena pelancaran stor utama baharu ini, Guardian telah menyediakan pelbagai promosi dan tawaran menarik untuk pelanggan setia kami. Jadi datanglah beramai-ramai ke stor utama Guardian di Mid Valley dan alami pengalaman membeli-belah serba baharu di Guardian.

Tonton video di bawah untuk menyaksikan stor premium segmen andalan Guardin Mid Valley.


Friday, 3 November 2023

Nur Iman Perlu Bantuan Segera, Derma Melalui Yayasan Ikhlas

KUALA LUMPUR: Kempen Bantu Pesakit Sihat (BPS) diusahakan Yayasan Ikhlas sejak lebih dua tahun lalu kini diteruskan lagi termasuk bantuan diberikan kepada adik Nur Iman Mohamad Sabri yang menetap di Terengganu.

Bantu Pesakit Sihat Nur Iman Yayasan Ikhlas


Nur Iman mengalami keadaan hampir sama seperti kes kanser mulut adik Ainul Mardhiah yang selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan mulut di hospital London dengan bantuan Dr Nur Amalina Che Bakri selepas mendapat perhatian meluas rakyat Malaysia.

Bagaimanapun kes Nur Iman lebih serius membabitkan ketumbuhan besar pada mulutnya menutup seluruh hidung dan mulut dipanggil Benigh Epignathus Teratoma hingga menyukarnya makan serta bernafas.

Keadaan Nur Iman sewaktu baru
dilahirkan 


Keadaan Nur Iman sekarang

Untuk rekod, sejak dilahirkan hingga ke hari ini, Nur Iman (setahun 10 bulan) sudah menjalani empat kali pembedahan membuang ketumbuhan selain pembentukan struktur rahang serta lidah.

Namun, rawatan khusus masih perlu dilakukan untuk Nur Iman dengan keperluan anggaran kos sebanyak RM400,000 bagi menjalani empat lagi siri pembedahan selain bantuan lain sehingga umur Nur Iman genap 12 tahun.

Bantu Pesakit Sihat Nur Iman Yayasan Ikhlas
Prof Shaifulizan Abdul Rahman Dalam Temuramah

Menurut doktor yang merawatnya, Prof Shaifulizan Abdul Rahman dari Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, pelbagai pembedahan perlu dilakukan ke atas Nur Iman.

“Ketumbuhan berkenaan berjaya dibuang pada pembedahan kali pertama. Namun, dia terpaksa terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tujuh bulan. Tanpa diduga bentuk kepalanya bertukar menjadi leper dan berkudis akibat terlalu lama terbaring serta tiada pergerakan.

“Justeru, dijangka ada lagi empat pembedahan yang perlu dibuat untuk membetulkan lelangit, gusi, bibir, membuang cecair di kepala. Tak ketinggalan pembedahan membina gusi.

“Selain itu, kos dan dana diperlukan juga merangkumi bantuan bulanan untuk keperluan menjaga rapinya. Termasuklah belian susu khas, ubat, keperluan harian, peralatan khas, rawatan hospital dan wang tunai sekitar RM4,000 sebulan,” kata Prof Shaifulizan

Prof Shaifulizan menambah ibu bapa Nur Iman juga bergelut meneruskan kehidupan.

“Ibunya tidak bekerja. Bapanya pula hanya mengambil upah kerja kampung selain membantu menjaga Nur Iman. Mereka mempunyai dua anak yang bersekolah di asrama dan abang berusia lima tahun,” kata Prof Shaifulizan .

Sementara itu, Yayasan Ikhlas menerusi Pengerusinya, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata pihaknya terus komited untuk meringankan beban dan menyampaikan bantuan selama setahun kepada Nur Iman sebagai permulaan.

“Besar harapan kami dalam memastikan Nur Iman dapat kembali sihat dan sekurang-kurangnya bantuan ini dapat meringankan beban ibu bapanya.

“Ini kerana sumbangan itu tidak hanya digunakan untuk memenuhi keperluan asas bagi yang memerlukan. Ia juga untuk digunakan sebagai kos pengurusan dan inisiatif lain yang memberikan impak positif yang lebih luas.

“Bagi yang mahu turut menyumbang boleh ke pautan
www.bantuiman.com. Boleh juga lihat https://vt.tiktok.com/ZSNkgckEY/ untuk lebih lanjut,” kata Prof Dr Zainur.

Yayasan Ikhlas ditubuhkan pada 5 Mac 2009 dan merupakan sebuah badan tidak berasaskan keuntungan (non-profit) yang berdaftar di bawah Jabatan Perdana Menteri. 

Yayasan Ikhlas ketika menyerahkan sumbangan kutipan hasil daripada orang ramai kepada keluarga Nur Iman

Yayasan Ikhlas sudah menjalankan projek kebajikan di peringkat setempat dan antarabangsa serta mobilisasi sukarelawan. Yayasan ini juga mempunyai kelulusan Pengecualian Cukai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Sebarang sumbangan yang dibuat layak untuk menerima resit pengecualian cukai.



Thursday, 26 October 2023

Empat Wanita Rangkul Gelaran Guardian The Face of Healthy Beauty 2023!

Kuala Lumpur, 21 Oktober 2023: EMPAT pemenang telah muncul sebagai Face of Healthy Beauty Guardian untuk2023 selepas berakhirnya pertandingan selama empat bulan di seluruh negara.

Pemenang Guardian The Face of Healthy Beauty 2023.

Pertandingan Akhir Peraduan Guardian The Face of Healthy Beauty yang telah berlangsung hari ini di Kuala Lumpur, menyaksikan 20 finalis daripada seluruh negara, termasuk dua peserta lelaki, bersaing untuk menjadi salah seorang daripada empat pemenang akhir.

Salah seorang finalis lelaki, Faiz Rahim.

Empat pemenang tersebut ialah:
1. Aqila Bt Afindi
2. Kay Yap Yen Yin
3. Nur Izzatul Aqma Bt Ludin
4. Candace Cheah Sook Peng

Aqila Afindi, 22, yang berasal dari Putrajaya dan merupakan seorang penuntut Universiti Teknologi MARA berkongsi perasaan gembira dan rasa syukur atas kemenangannya.

“Saya sangat kagum melihat kehebatan peserta lain dan saya berasa sangat gembira kerana dipilih sebagai salah seorang daripada empat pemenang. Kemenangan ini bukan sahaja untuk diri saya tetapi untuk seluruh keluarga dan rakan-rakan yang telah banyak mendoakan saya,” katanya.

Sementara itu, pereka fesyen Nur Izzatul Aqma, 21, yang telah menghasilkan busananya sendiri untuk Pertandingan Akhir itu berkata bahawa kemenangannyaditujukan kepada ibu bapa, keluarga serta sahabat handai yang menyokongnya dalam semua pertandingan yang disertainya.

“Saya juga berusaha memberikan yang terbaik untuk menang dan syukur, usahasaya berhasil dengan kemenangan ini. Ia amat bermakna buat saya,” kata Nur Izzatul yang berasal dari Petaling Jaya.

Kay Yap, 31, dari Kuala Lumpur tetap berusaha untuk memberi yang terbaik.

“Persaingan sangat sengit, memandangkan semua peserta begitu bersemangat dan berbakat. Tahniah kepada Guardian kerana telah menjadi perintis trend dengan memilih duta jenama yang benar-benar meraikan kecantikan dalaman,” kata Kay.

Kay, yang turut memenangi hadiah Kategori untuk peserta ‘Paling Sihat’ merupakanPereka Multimedia.

Candace Cheah berusia 28 tahun dan merupakan pelajar tahun akhir jurusan Sains Veterinar.

Candace Cheah, 28.

Anna Hull, Pengarah Komersial, Guardian Health and Beauty Sdn Bhd berkata: “Kami sangat berbesar hati untuk akhirnya mengumumkan pemenang Face of Healthy Beauty 2023. Pertandingan tahun ni telah mendapat sambutan yang menakjubkan dan persaingan pula begitu sengit. Kami juga gembira apabilamendapati bahawa peserta yang mengambil bahagian datang dari seluruh Malaysia dan kami juga berbangga kerana untuk pertama kalinya, kami mempunyai dua peserta lelaki dalam 20 finalis pertandingan akhir.

“Seperti yang kita sedia maklum, Face of Healthy Beauty BUKAN peraduankecantikan. Ia adalah pencarian individu istimewa yang memiliki kualiti unik yang Guardian percaya, melambangkan maksud sebenar konsep Healthy Beauty.

“Konsep Healthy Beauty adalah TERAS falsafah jenama Guardian dan ia adalah cetusan daripada wawasan pengguna bahawa kesihatan yang baik adalah asas kepada kecantikan sebenar. Oleh yang demikian, pemenang kami akan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menjalani kehidupan yang sihat dan indah, dengan melakukan aktiviti yang menggembirakan dan memuaskan hati mereka,” tambah Anna.

Disebut-sebut sebagai yang pertama seumpamanya di Malaysia, pencarian The Face of Healthy Beauty adalah usaha untuk mencari EMPAT individu di seluruh negara yang paling sesuai dinobatkan sebagai ‘The Face of Healthy Beauty’, untuk menjadi duta kecantikan sihat Guardian.

Empat (4) pemenang Peringkat Akhir masing-masing akan menerima:
• Kontrak satu (1) tahun dengan Guardian
• Penampilan dalam Iklan, bahan Promosi dan bahan promosi jualan didalamstor Guardian
• Wang tunai RM10,000 dan baucar bernilai RM10,000
• Produk daripada penganjur yang mengambil bahagian
• Produk Penjagaan Mandian Guardian bernilai RM5,000 untuk disumbangkankepada badan kebajikan pilihan pemenang.

Peraduan yang bermula pada 26 Jun 2023 ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.

Untuk maklumat lanjut tentang pencarian, serta terma dan syarat penuh penyertaanboleh didapati di https://theface.guardian.com.my.


Saturday, 7 October 2023

Dahlia Corner, Tempat Makan Malam Masakan Melayu Di KL

Teringin nak makan masakan melayu waktu malam di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur? Sini saya perkenalkan kedai masakan melayu panas-panas yang buka sampai tengah malam siap senang letak kenderaan lagi.

dahlia corner jalan stonor masakan melayu panas waktu malam di kl

Perkenalkan Dahlia Corner, kedai makan makanan melayu in terletak di Persiaran Stonor iaitu dalam kawasan segi tiga emas bandaraya Kuala Lumpur. Sebelum ni dikenali sebagai I’Dahlia Corner, papan tanda pun belum bertukar. Serta, Dahlia Corner ni hanya ada satu cawangan sahaja. Jadi jangan keliru ya.

Selalunya waktu pagi dan tengahari memang penuh orang daripada pejabat yang nak bungkus makanan, merarau dan mesyuarat. Sebenarnya Dahlia Corner ni buka sampai ke malam je dengan banyak menu masakan panas. Malam-malam ada je orang dari luar negara macam mat salleh makan kat sini sebab senang nak jalan kaki dan selamat.

Menu Pilihan Banyak dan Harga Mampu Bayar

Dimiliki oleh Puan Dahlia atau mesra disapa dengan panggilan Kak Dahlia, Kak Dahlia menegaskan bahawa Dahlia Corner ni kedai makan masakan melayu panas-panas dengan beberapa pengaruh masakan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan dan beberapa masakan melayu negeri lain. Oleh itu senang nak buat pesanan makanan melayu panas-panas walaupun dah tengah malam.

Kanan: Kak Dahlia

Lontong, Laksa, Ikan Bawal Emas Stim, Telur Dadar Siam, Sayur Kailan Ikan Masin, Ayam Goreng Kunyit, Sup Tomyam, Mi Goreng, Sup Tulang, Minuman Ikat Tepi dan banyak lagi lah boleh dipesan. Harga pula tak cekik darah walaupun di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Bayangkan Set Lempeng Kelapa hanya RM5 datang dengan tiga keping lempeng cicah gula perang dan sambal ikan bilis tau. Mana nak dapat kat bandar ni dah. Tengok harga menu kat bawah ni.

menu dahlia corner jalan stonor
Menu

Tempat Letak Kenderaan Mudah

Kalau pergi makan kat KL waktu malam pun susah cari tempat letak kenderaan kan. Terpusing-pusing, bayar tempat letak kenderaan lagi siap bersesak bersempit kena jalan jauh nak ke kedai makan. Kat Dahlia Corner ni istimewanya juga nak letak kereta mudah.

Letak tepi jalan depan kedai pun boleh. Ada je ruang. Kalau lah pun penuh, sebelum masuk simpang Persiaran Stonor (Dahlia Corner) ni ada tempat letak kenderaan luas terbentang dan percuma waktu malam. Terletak bertentangan je, jalan kaki lintas jalan sikit je. Tak sempat pasang satu lagu sampai habis. ParkSafe Parking Kuala Lumpur nama tempat letak kenderaan ini terletak di Jalan Stonor.

Lokasi Stratergik dan Dekat MRT

Lokasi kedai makanan ni memang dalam kawasan bandar betul-betul. Siap boleh nampak Menara Berkembar Petronas lagi dari luar kedai. Nak ke sini guna pengangkutan awam senang je. Kedai ni terletak dalam 3 minit perjalanan kaki dari MRT Conlay (MRT PJY Line) melalui Pintu A.

Peta dari MRT Conlay

Sampai je MRT Conlay terus keluar guna Pintu A dan jalan ke kiri sampai simpang empat ada lampu trafik. Lepas tu melintas jalan ke kanan. Kemudian jalan lagi sampai nampak simpang sebelah kanan, masuk je akan nampak kedai-kedai makan dan gerai jual durian dan sebagainya.

Ha, situ lah Dahlia Corner. Mudahkan?

Kedai Selesa dan Cantik (Mesra keluarga dan anak kecil)

Saya boleh katakan, Dahlia Corner ni selesa sebab tak panas. Banyak tempat duduk dan meja makan tak rapat-rapat. Nak berjalan pun luas je. Sesuai lah nak bawa keluarga, anak kecil, orang tua ataupun datang dengan kawan-kawan nak lepak malam kan. Lagi-lagi orang tua kita yang suka makanan melayu, memang elok lah bawa ke mari.

Ada tiga ruang makan di Dahlia Corner ni iaitu ruang makan berdingin hawa, ruang makan di dalam dan ruang makan di luar. Ruang berdingin hawa ni kalau tiada majlis boleh je masuk terus tanpa buat tempahan. Bawa keluarga besar datang ke mari pun tiada masalah sebab ada je meja panjang besar selesa.

Atas: bilik berdingin hawa 
Bawah: ruang makan dalam (kiri), ruang makan luar (kanan)

Kedai ni pula masuk-masuk je dah cantik ada pelamin. Bak kata Kak Dahlia, budak-budak memang suka main dengan pelamin tu. Lepas tu, orang muda macam kita ni suka lah ambil gambar kat sini. Sana sini rambang mata nak ambil gambar sebab ada je hiasan dalam kedai ni nak ditengok. Lampu pun lampu gantung candelier tau. Kelasssss.

Pelamin

Di sini juga ada persembahan nyanyian ‘live busking’. Selalu saya tak suka ada ‘live busking’ sebab bising, rimas dan tak selesa nak makan. Nak borak pun susah sebab tak dapat dengar kawan cakap apa. Nasib baik ‘live busking’ kat sini bukan jenis melalak tau. Sempoi je. Lagi satu, ‘live busking’ kat sini bukan jenis sentiasa berterusan, kalau berterusan mau bosan dibuatnya. 

‘Live Busking’

Nak tahu juga, sini nak karaoke pun boleh tau. Nak nyanyi satu lagu RM3.50. Nyanyi tiga lagu RM10. Boleh la sumbang suara sikit tunjuk bakat kan. Tapi jangan lah melalak sangat ya, kesian orang nak makan tersedak. Hahaha.

Kalau rasa tak boleh nak dengar ‘live busking’ juga boleh lah duduk di ruang luar ataupun ruang berdingin hawa.

Bagi yang berminat untuk menempah ruangan Dahlia Corner boleh hubungi mereka di nombor telefon di bawah nanti.

Review Makanan Dahlia Corner

Saya sudah pun menjamah beberapa menu masakan panas di Dahlia Corner. Sini saya review satu-satu makanan ya.

1) Lempeng Kelapa

Lempeng Kelapa ni memang susah cari kat mana-mana sekarang. Lempeng Kelapa kat sini ada campur pisang ya tapi bila makan tak rasa pun pisang tu. Paling sedap bila makan panas-panas. Lembut, manis-manis Kelapa. Sedap lah. Di hidangkan dengan cicah gula perang dan sambal ikan bilis pedas. Ni antara makanan paling teratas untuk saya cadangkan anda pesan bila makan kat sini.


Sambal ikan bilis sini kira pedas dan tak manis. Saya sangat suka.

2) Ikan Bawal Emas Stim Limau

Ikan Bawal Emas Stim Limau ni sesuai sangat yang nak makan ikan tapi tak suka ikan banyak tulang. Sudah la lembut senang nak asingkan isi dengan tulang. Isi pun segar. Kuah dari stim ikan ni hirup pun sedap. Tak rasa hanyir pun. Rasa segar makan dengan rasa limau tu bagus. Pun berbaloi untuk dipesan sekeluarga.


3) Ikan Siakap 3 Rasa

Saya suka ikan siakap goreng. Saya pun suka masakkan 3 rasa. Bergabung, meletup.


Kuah 3 Rasa kat sini sedap. Masam, manis dan manis. Tak sama seperti masakan kat Miri, Sarawak, kat sini lebih pekat dan rasa berlapis-lapis. Kuah pekat. Cuma kurang ketulan seperti nanas dan tomato bagi saya sebab saya suka tekstur masakan 3 rasa begini. Tapi jangan salah faham ye, kuah 3 rasa kat sini sedap!

Ikan digoreng rangup. Kalau tak rangup tak sedap, lepas tu terlebih rangup pun tak sedap. Isi ikan pun segar lepas tu tak rasa di peram dengan kunyit sampai hilang rasa. Seimbang lah.

4) Tomyam Seafood

Masakan Tomyam Seafood sini buat saya teringat tomyam zaman universiti dulu. Serupa. Rasa tomyam sini pedas, masam dan manis. Pedas dan masam tomyam saya suka, manis macam biasa lah tak berapa sangat. Tapi saya layan tau. Habis saya kuahkan ke nasi. Selera saya makan.


Isi seafood pun banyak. Paling penting bukan tomyam bawang tau. Udang sotong segar-segar. Tak hanyir. Rasa tomyam ni macam tomyam buat sendiri pun ada.

5) Daging Paprik

Paprik sini sedap! Sebab sos Paprik kat sini bukan rasa sos cili dalam botol tu. Faham kan maksud saya? Hahaha. Selalu dapat yang sos paprik cair macam guna sos cili botol tu, ha kat sini tidak ya. Lepas tu majoriti daging lembut amat. Dalam dua keping je liat yang lain ah sukanya. I meratah sampai habis tau. Dan paprik kat sini tak manis. Hehe.


6) Telur Dadar Special

Telur dadar special ni ala siam. Dalam telur dadar ada udang dan bawang kuning besar tu. Gebu penuh sehingga lagi. Budak-budak mesti suka lagi-lagi udang dalam ni banyak. Haha. Saya tak berapa sangat sebab bawang kuning besar rasa manis-manis.


7) Ayam Goreng Kunyit

Saya tak suka makan ayam goreng kunyit kat kedai secara am. Sebab selalu dapat isi keras kejung. Ayam goreng kunyit sini saya puji ya, lembut. Saya tapau balik masuk peti ais panaskan keesokkan harinya pun masih lembut. Perapan kunyit pun banyak, sayur kacang dan lobak merah masak tak mentah siap ada rasa lagi.


8) Kailan Ikan masin

Ikan masin dalam kailan ni banyak. Kawan saya yang suka makan ikan masin tapi tak berapa suka makan sayur boleh makan banyak tau. Haha. Secara peribadi, saya rasa biasa-biasa.


9) Sotong & Udang Celup Tepung

Tak sah kalau tak ada goreng celup tepung di kedai masakan melayu. Rangup itu wajib. Rasa pula bagi saya biasa je. Sotong celup tepung sini kecil dengan saiz tapi tak liat pun. Lembut bila digigit. Paling saya suka udang celup tepung. Rangup sangat. Makan dengan kulit pun sedap tak tajam. Eh suka lah yang udang punya.


10) Sup Tulang

Terpaling sedap. Sup Tulang rasa dia pekat tapi bukan likat. Rasa daging kuat sedap. Hirup lembut je masuk tekak tapi rasanya ya ampun, macam masak untuk diri sendiri betul-betul. Tak sengkek langsung. Tak ada rasa hampas-hampas pun. Isi daging kat tulang pun banyak je. Tak lah kosong gitu. Lembut pulak tu rasa daging. Ini pun wajib untuk anda buat pesanan kat sini ya.


Saya paling suka kedai ni masak tak masin sangat. Hidangan pun tak sengkek. Tak berapa pedas, sesuai untuk majoriti orang ramai. Nak pedas boleh minta pedas dan cili. Bahan basah pun segar-segar. Cuma beberapa hidangan tu banyak minyak lah. Secara keseluruhan makanan kat sini memang sedap lagi-lagi masakan kat sini bukan jenis manis-manis. Kena dengan tekak. Boleh ulang banyak kali!

Jadi jom ke Dahlia Corner bawa keluarga dan rakan-rakan makan malam kat sini.

Maklumat Lanjut Dahlia Corner


Lihat juga video tiktok:
@zandra.zane Review lanjut di www.thirteenpersona.blogspot.com 💃🏻 @Idahlia Corner #klfoodhunting #kldinnerplace #kl ♬ Live Your Beautiful Life - Gray Griggs

Dahlia Corner
Alamat: 5, Persiaran Stonor, Kuala Lumpur, 50450 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Hari Operasi: Setiap hari kecuali ahad
Masa Operasi: 7 pagi - 12 tengah malam
Nombor Telefon: 012-258 5162


**Tandas, tempat cuci tangan dan ruangan solat disediakan.