Friday, 3 November 2023

Nur Iman Perlu Bantuan Segera, Derma Melalui Yayasan Ikhlas

KUALA LUMPUR: Kempen Bantu Pesakit Sihat (BPS) diusahakan Yayasan Ikhlas sejak lebih dua tahun lalu kini diteruskan lagi termasuk bantuan diberikan kepada adik Nur Iman Mohamad Sabri yang menetap di Terengganu.

Bantu Pesakit Sihat Nur Iman Yayasan Ikhlas


Nur Iman mengalami keadaan hampir sama seperti kes kanser mulut adik Ainul Mardhiah yang selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan mulut di hospital London dengan bantuan Dr Nur Amalina Che Bakri selepas mendapat perhatian meluas rakyat Malaysia.

Bagaimanapun kes Nur Iman lebih serius membabitkan ketumbuhan besar pada mulutnya menutup seluruh hidung dan mulut dipanggil Benigh Epignathus Teratoma hingga menyukarnya makan serta bernafas.

Keadaan Nur Iman sewaktu baru
dilahirkan 


Keadaan Nur Iman sekarang

Untuk rekod, sejak dilahirkan hingga ke hari ini, Nur Iman (setahun 10 bulan) sudah menjalani empat kali pembedahan membuang ketumbuhan selain pembentukan struktur rahang serta lidah.

Namun, rawatan khusus masih perlu dilakukan untuk Nur Iman dengan keperluan anggaran kos sebanyak RM400,000 bagi menjalani empat lagi siri pembedahan selain bantuan lain sehingga umur Nur Iman genap 12 tahun.

Bantu Pesakit Sihat Nur Iman Yayasan Ikhlas
Prof Shaifulizan Abdul Rahman Dalam Temuramah

Menurut doktor yang merawatnya, Prof Shaifulizan Abdul Rahman dari Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, pelbagai pembedahan perlu dilakukan ke atas Nur Iman.

“Ketumbuhan berkenaan berjaya dibuang pada pembedahan kali pertama. Namun, dia terpaksa terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tujuh bulan. Tanpa diduga bentuk kepalanya bertukar menjadi leper dan berkudis akibat terlalu lama terbaring serta tiada pergerakan.

“Justeru, dijangka ada lagi empat pembedahan yang perlu dibuat untuk membetulkan lelangit, gusi, bibir, membuang cecair di kepala. Tak ketinggalan pembedahan membina gusi.

“Selain itu, kos dan dana diperlukan juga merangkumi bantuan bulanan untuk keperluan menjaga rapinya. Termasuklah belian susu khas, ubat, keperluan harian, peralatan khas, rawatan hospital dan wang tunai sekitar RM4,000 sebulan,” kata Prof Shaifulizan

Prof Shaifulizan menambah ibu bapa Nur Iman juga bergelut meneruskan kehidupan.

“Ibunya tidak bekerja. Bapanya pula hanya mengambil upah kerja kampung selain membantu menjaga Nur Iman. Mereka mempunyai dua anak yang bersekolah di asrama dan abang berusia lima tahun,” kata Prof Shaifulizan .

Sementara itu, Yayasan Ikhlas menerusi Pengerusinya, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata pihaknya terus komited untuk meringankan beban dan menyampaikan bantuan selama setahun kepada Nur Iman sebagai permulaan.

“Besar harapan kami dalam memastikan Nur Iman dapat kembali sihat dan sekurang-kurangnya bantuan ini dapat meringankan beban ibu bapanya.

“Ini kerana sumbangan itu tidak hanya digunakan untuk memenuhi keperluan asas bagi yang memerlukan. Ia juga untuk digunakan sebagai kos pengurusan dan inisiatif lain yang memberikan impak positif yang lebih luas.

“Bagi yang mahu turut menyumbang boleh ke pautan
www.bantuiman.com. Boleh juga lihat https://vt.tiktok.com/ZSNkgckEY/ untuk lebih lanjut,” kata Prof Dr Zainur.

Yayasan Ikhlas ditubuhkan pada 5 Mac 2009 dan merupakan sebuah badan tidak berasaskan keuntungan (non-profit) yang berdaftar di bawah Jabatan Perdana Menteri. 

Yayasan Ikhlas ketika menyerahkan sumbangan kutipan hasil daripada orang ramai kepada keluarga Nur Iman

Yayasan Ikhlas sudah menjalankan projek kebajikan di peringkat setempat dan antarabangsa serta mobilisasi sukarelawan. Yayasan ini juga mempunyai kelulusan Pengecualian Cukai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Sebarang sumbangan yang dibuat layak untuk menerima resit pengecualian cukai.



No comments:

Post a Comment