Friday 30 September 2022

Memiliki Anggota Serupa Ariel Noah, Kumpulan Kasyara Lancar Album di Malaysia.

Kuala Lumpur, 28hb September - KASYARA rasmi melancarkan album pertama mereka di Malaysia dengan kendalian FABIS INC pada majlis tertutup di sebuah studio muzik baru-baru ini. Kumpulan duo dari Indonesia ini melancarkan album yang bertajuk Diantara dan Lainnya dengan 11 buah lagu termasuk sebuah lagu ‘cover’.

Kasyara dan Fabis Inc dalam pelancaran album ‘Diantara dan Lainnya’ di Drum Asia Studio baru-baru ini.

Sedikit pengenalan mengenai Kasyara, kumpulan ini dianggotai oleh dua orang yang terdiri daripada Kensen selaku vokalis  dan Faizal selaku pemain ‘keyboard’ yang juga seorang produser muzik.

Faizal bukan lah seorang pendatang baru, dia pernah bekerjasama dengan pemain industri muzik Indonesia yang besar seperti Tompi, Glenn Fredly dan Radja Band. Menariknya dia pernah bersama dengan kumpulan Noah menggantikan David sebagai pemain ‘keyboard’.

Kensen pula merupakan seorang penyanyi indie yang selalu membuat pertunjukkan di kelab-kelab dan ruang muzik secara kecil-kecilan. Namun tuah vokal semirip Aril daripada Noah, menjadi tular memukau warga maya.

Kensen dan Faizal dalam persembahan mereka.

Pertemuan mereka yang secara tidak langsung telah memberi inspirasi kepada kedua-dua mereka untuk menubuhkan kumpulan duo iaitu Kasyara pada ogos 2021.

Kumpulan yang sedang meningkat naik di Indonesia ini turut ditawarkan untuk menyanyikan lagu ‘cover’ Gerimis Mengundang lagu asal kumpulan Slam tahun 90an dari Malaysia. Tuah berpihak kepada mereka apabila lagu Gerimis Mengundang kembali terkenal di Indonesia. Bahkan kumpulan Kasyara menjadi sinonim dengan lagu ini.

Faizal turut memberi beberapa kata mengenai Gerimis Mengundang versi mereka yang diberi sentuhan terbaharu bagi penyesuaian pendengar tahun 2022, “Ketika pertama kali menyanyikan Gerimis Mengundang versi ini, terasa segala memori ketika kecil semasa lagu ini hangat diputarkan kembali menjengah.”

“Malah ia satu ‘kenangan’ yang amat diperlukan dalam menyampaikan lagu yang sarat dengan lirik menyentuh emosi ini. Jadi saya amat berharap tidak terpalit dengan situasi dibandingkan dengan penyanyi asal seperti yang terjadi kepada penyanyi lain.

Besar juga harapan saya agar peminat Malaysia dan Indonesia dapat menikmati susun atur Gerimis Mengundang nyanyian Kasyara,” tambahnya lagi. 

Kini anda boleh mendengarkan lagu-lagu daripada album pertama dari kumpulan Kasyara berbentuk digital di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Joox, iTunes, YouTube music dan lain-lain lagi.

Album Kasyara.

11 lagu di dalam album ‘Diantara dan Lainnya’ ialah:

• Gerimis Mengundang (Lagu ‘cover’

• Hanya Sementara 

• Terbang 

• Dunia Pura-Pura 

• Cinta Tak Bicara 

• Ruang Hati 

• Berbagi Langit 

• Jangan Katakan Cinta 

• Hampir Tak Bernafas 

• Aku Dan Kau 

• Peace The World (Lagu inggeris berkenaan pandemik)

Menariknya lagu-lagu asli mereka semua dihasilkan sendiri dengan sentuhan Faizal selaku produser dengan menonjolkan lagi vokal Kensen itu sendiri.

Untuk menonton kumpulan Kasyara menyanyikan lagu Gerimis Mengundang, anda boleh menonton video muzik tersebut di YouTube FABIA INCORPORATION yang telah dimuat naik pada 1hb Julai lepas. Video dan lagu ‘cover’ ini telah mendapat komen positif daripada warga Malaysia dan Indonesia sendiri.

Jom strim album Kasyara - ‘Diantara dan Lainnya’ sekarang!

No comments:

Post a Comment