Saturday, 1 October 2022

AEON LANCAR KOLEKSI BUSANA PENGANTIN SEDIA UNTUK DIPAKAI (RTW Bridal Collection)

KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Dalam fasa selepas endemik, ramai yang mula melangsungkan majlis perkahwinan sama ada yang baru sahaja berkahwin ataupun sudah berkahwin tapi belum sempat mengadakan majlis akibat PKP. Maka musim perkahwinan ketika ini bertambah meriah justeru permintaan untuk mendapatkan pakaian pengantin mampu milik semakin meningkat. 

AEON Malaysia melancarkan koleksi busana pengantin siri Puteri di AEON Alpha Angle baru-baru ini.

Oleh itu AEON CO. (M) BHD. (AEON) mengambil langkah untuk melancarkan koleksi busana pengantin yang bertemakan “Permaisuri Sehari” sesuai dengan permintaan ramai. Oleh itu majlis pelancaran telah dilaksanakan di AEON Mall Alpha Angle, Wangsa Maju baru-baru ini dengan menampilkan koleksi busana pengantin kali pertama.

AEON dengan bangganya memperkenalkan busana pengantin dan juga busana pengapit di bawah label Puteri sedia untuk dipakai (RTW/Ready-to-Wear) dengan harga mampu-milik dan tersedia dalam pelbagai saiz. Untuk mendapatkan koleksi busana pengantin ini, pelanggan boleh mendapatkannya di lapan (8) cawangan AEON terpilih iaitu di AEON Taman Maluri, Alpha Angle, Bandar Utama, MidValley, Shah Alam, Kota Bharu, Kuching dan Nilai.

Busana pengantin berpasangan di AEON.

Antara koleksi yang tersedia secara fizikal di AEON.

Menurut Low Ngai Yuen, Ketua Pegawai Pemasaran dan Dagangan AEON Malaysia, “AEON memang faham cabaran untuk merancang perbelanjaan perkahwinan jadi bila tibanya peluang untuk membantu mengurangkan stress, label PUTERI terus mengambil inisiatif untuk memperkenalkan koleksi busana yang mesra-bajet, moden dan dengan 15 pilihan yang boleh terus dipakai serta tersedia dalam semua saiz.”

Sebenarnya pelancaran koleksi bermula dengan pameran perkahwinan sejak 26 September lalu, cuma kali ini pameran perkahwinan “Permaisuri Sehari” bukan sahaja menampilkan koleksi Puteri tapi juga turut disertai oleh Shasha’s Designer, Ghadeez KL, Ikhwan Designer, Nana Bridal dan Jess Wedding. Pameran ini membantu memperkenalkan pemilik busana pengantin tempatan dan membuka ruang kepada semua rakyat Malaysia, khususnya pelanggan AEON untuk mendapatkan pelbagai pakej perkahwinan dan busana pengantin. 

 
Busana pengantin dari Shasha’s Designers.

Busana pengantin sedondon daripada Nana Bridal.

Busana pengantin wanita rekaan klasik dan moden berasaskan songket dari Ikhwan Mohamad.

Kesemua jenama terbabit yang turut hadir juga memperlihatkan koleksi busana mereka dalam satu pertunjukan fesyen yang meriah dan menarik. Pada hari pertunjukkan juga, Aini Sophie iaitu pemenang Miss Malaysia Kebaya 2018/2019 dan Ikon Wanita Melayu 2019 turut memperagakan koleksi Puteri bersama-sama dengan pemenang peraduan kempen media sosial AEON “Permaisuri Sehari”, sebuah kempen media sosial iaitu Nursyuhaidah Mohd Razib dari Keramat, Nurul Natasha Jamaludin dari Ampang dan Rosnazira Jamil dari Penang. 

Ikon Wanita melayu bersama tiga pemenang kempen “Permaisuri Sehari” AEON.

Buat ketika ini, busana pengantin boleh didapati secara fizikal sahaja di lapan buah cawangan seperti di atas. Busana pengantin bukan sahaja untuk wanita tapi juga lelaki dengan pelbagai saiz dan kemasan. Untuk busana pengantin AEON, busana pengantin rekaan tradisi Melayu tradisi dan moden sahaja yang ada, namun jangan bimbang, rekaan tradisi kaum dan agama busana pengantin lain mungkin akan menyusul.

Bagi saya adalah berbaloi untuk mendapatkan pakaian pengantin di sini kerana kualitinya yang kemas, rekaan malar segar tanpa sarat, mudah mendapatkan saiz, sopan dan harga yang berpatutan. Harga pakaian pengantin di sini sekitar RM100-RM300 sahaja. Sewa pun lagi mahal tau. Berbaloi kan! Pakaian pengantin Puteri AEON ni sesuai juga untuk dipakai pada mana-mana majlis lain. 

Antara perincian rekaan busana pengantin AEON. Rekaan tidak sarat dan malar segar serta tampak elegan.

Jemput lah ke AEON yang berkenaan untuk lihat sendiri koleksi busana pengantin ini ya!



No comments:

Post a Comment