30 Ogos 2024, Setapak - Dataran Wisma Rampai di Setapak
telah dipilih untuk sambutan Ambang Merdeka 2024 bagi tahun ke-4 yang
bertemakan "Madani Jiwa Merdeka". Sambutan ini telah dianjurkan oleh
penganjur utama iaitu PERKASA Wilayah Persekutuan, Veteran 1 Malaysia, dan
PEDULI KASIH dengan kolaborasi beberapa badan lain seperti Dewan Perniagaan
Usahawan Malaysia (DPUM), Pusat Pakaian Hari-Hari, JMB Wisma Rampai, Persatuan
Kebajikan Ibu Tunggal Islam (PAKIT), Pertubuhan Tentera Tidak Berpencen Malaysia
(PTTB), Yayasan FELCRA, Pusat Aktiviti Warga Emas Setiawangsa (PAWE
Setiawangsa), Persatuan Generasi Cemerlang Kuala Lumpur, dan GENERASI Negaraku
Malaysia.
 |
Sambutan Ambang Merdeka 2024 |
Majlis yang dihadiri kira-kira 100 orang ini dimulakan
dengan ucapan perasmian oleh Yang Bahagia Dato’ Zaharin Mohd Yassin, Yang
Dipertua PERKASA Wilayah Persekutuan. Dalam ucapannya, Dato’ Zaharin menekankan
pentingnya semangat kemerdekaan dan perpaduan dalam masyarakat. Selain Dato’
Zaharin, majlis ini juga dihadiri oleh ahli pimpinan PERKASA Wilayah
Persekutuan, beberapa Badan Bukan Kerajaan, serta ahli perniagaan seperti Dato’
Sri Abu Hassan daripada DPUM, Pengerusi Veteran 1 Malaysia; Dato’ Abd Rahman Hashim, Pengerusi
Persatuan PEDULI KASIH; Tuan Jaafar Albar Abd Talib, Rani Kulup dan keluarga, wakil OGOShop, wakil media dan ramai lagi.
 |
Yang Bahagia Dato’ Zaharin Mohd Yassin, Yang Dipertua PERKASA Wilayah Persekutuan. |
Objektif utama acara ini adalah untuk menyambut ulang tahun
Merdeka ke-67 Malaysia sambil mengeratkan hubungan antara badan-badan
perniagaan yang lain, serta menyumbang kepada komuniti setempat. Sebelum acara
utama, badan bukan kerajaan yang terlibat pada malam ini turut menganjurkan beberapa aktiviti dalam bulan ogos bersama komuniti
tempatan seperti pertandingan mewarna di Tadika KEMAS di kawasan Setapak.
Sambutan Ambang Merdeka pada malam ini pula dimeriahkan
dengan aktiviti seperti sesi karaoke, pertandingan pakaian beragam kanak-kanak,
kuiz Merdeka, dan pertunjukan bunga api. Pemenang dan peserta turut mendapat hadiah, hamper dan cenderahati terdiri daripada produk Industri Kecil dan Sederhana. OGOShop juga bermurah hati dalam menaja baju kemeja T pada malam tersebut.
Kemuncak majlis pula dimulakan dengan
penyerahan Jalur Gemilang yang digunakan pada upacara menaikkan bendera sebelum
detik 12 malam, diiringi oleh lagu "Negaraku" yang dinyanyikan oleh
semua tetamu majlis.
 |
Pertandingan pakaian beragam tema Merdeka. |
Usai menaikkan bendera, pertunjukan bunga api pula dimulakan
selama beberapa minit. Pertunjukan bunga api ini disumbangkan oleh Datuk
Jawahar Ali Taib Khan selaku pemilik Nasi Kandar Ali Maju dan juga Pengerusi
PRESMA. Majlis Ambang Merdeka ini kemudian diakhiri dengan lagu "Jalur
Gemilang" yang meninggalkan kesan mendalam tentang semangat patriotik dan
perpaduan di kalangan peserta dan masyarakat setempat.
 |
Upacara menaikkan Bendera Malaysia dan pertunjukkan bunga api. |
MENGENAI PENGANJUR
PERKASA - Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) merupakan
Badan Bukan Kerajaan yang "memperjuangkan" dan
"mempertahankan" hak-hak orang Melayu dan Bumiputera di Malaysia.
Contohnya, memudahkan pelajar memohon biasiswa pelajaran dan juga membanteras
peniaga warga asing yang mengambil hak peniaga pribumi.
Veteran 1 Malaysia – Persatuan Veteran 1 Malaysia
mengumpulkan ahli-ahli veteran yang pernah berkhidmat untuk negara serta
membantu ahli untuk menyesuaikan dan meneruskan kehidupan selepas perkhidmatan.
PEDULI KASIH - Persatuan awam yang menggerak, mengeratkan,
dan mengukuhkan silaturahim, kebajikan, kerjasama, persefahaman, dan
kesejahteraan sesama ahli dan masyarakat setempat.