Monday, 27 June 2022

Pelancaran Lagu Omar & Hana ‘Mudahnya Berzakat’ Oleh Pusat Pungutan Zakat MAIWP

Wangsa Maju, 25hb Jun – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah mengadakan Majlis Pelancaran Lagu Omar & Hana yang bertajuk Mudahnya Berzakat di pusat membeli belah terkemuka di ibu negara.

Pelancaran Lagu Mudahnya Berzakat

                Omar & Hana yang terkenal dengan lagu-lagu berkisahkan kisah tauladan sahabat nabi, solat, puasa dan lain-lain berkaitan dengan agama Islam kini menampilkan lagu berkenaan dengan zakat. Insiatif ini merupakan kerjasama yang dilaksanakan oleh PPZ-MAIWP dan Digital Durian  yang akhirnya menghasilkan lagu dan video khas berkenaan zakat bertajuk Mudahnya Berzakat. Video lagu ini juga untuk memberi kesedaran dan mendidik kanak-kanak dan ibu bapa tentang kewajipan berzakat.

                Ibadah zakat ini perlu ditekankan sama seperti penekanan terhadap ibadah solat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji. Hal ini adalah kerana ibadah ini merupakan ibadah wajib dan merupakan salah satu rukun Islam. Secara tidak langsung lagu ini juga boleh memupuk anak-anak dari kecil apabila menonton video lagu ini. Seterusnya melahirkan generasi muda yang celik zakat dan akhirnya menyumbang kepada peningkatan kutipan zakat. Maka lebih banyak asnaf yang boleh dibantu.

                Untuk pengetahuan semua, kewajipan menunaikan zakat tidak hanya tertakluk kepada orang dewasa sahaja bahkan kanak-kanak juga tidak terkecuali menunaikan kewajipan ini sekiranya menepati syarat zakat. Syarat wajib zakat ialah islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab dan cukup haul. Maka mana-mana yang mencukupi syarat wajiblah mengeluarkan zakat tanpa kira umur. Namun zakat ke atas kanak-kanak wajib ditunaikan oleh penjaga atau ibu bapa.

                Sebagai tambahan, zakat terbahagi kepada dua iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Zakat harta pula merangkumi tujuh jenis. Tujuh jenis zakat harta tersebut ialah, zakat harta simpanan, zakat perniagaan, zakat ternakan dan pertanian, zakat KWSP (apabila dikeluarkan), zakat emas dan perak, zakat saham (apabila dikeluarkan) dan zakat pendapatan (gaji, elaun & sebagainya). Nampak banyak namun zakat hanya perlu dibayar sebanyak 2.5% sahaja daripada setiap jenis bahkan hanya wajib dibayar apabila cukup nisab setelah tolak komitmen.

Kaunter Zakat 

                Untuk memudahkan orang ramai meunaikan zakat, zakat kini boleh dilakukan melalui aplikasi MyZakat. Melalui aplikasi ini, pengguna boleh semak kelayakkan berzakat, mengira pembayaran zakat, membuat pembayaran dan semak penyata zakat. Aplikasi MyZakat ini boleh dimuat turun di Google Play Store atau Apple Store. Pembayaran melalui aplikasi ini kini lebih mudah dengan perbankan internet dan pembayaran melalui dompet elektronik sepert ShopeePay, Boost dan GoPayz.

Aplikasi MyZakat

                Mari kita menunaikan zakat, mensucikan hati dan mensucikan harta. Sementar itu jom tonton video lagu Mudahnya Berzakat oleh Omar & Hana dan PPZ-MAIWP.

Mudahnya Berzakat

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai PPZ-MAIWP boleh rujuk maklumat dibawah:

Laman Web: www.zakat.com.my
Talian Zakat: 1300-88-5757

Facebook: Pusat Pungutan Zakat
Instagram: Pusat Pungutan Zakat
Youtube: PPZTV
Twitter: PPZWP

Aplikasi MyZakat Play Store: MyZakat Play Store
Aplikasi MyZakat Apple Store: MyZakat Apple Store

1 comment:

  1. Selalu kita ingat org dewasa je kena byr zakat walhal kanak-kanak yang sudah cukup haul dan nisab pun kena mengeluarkan zakat.

    ReplyDelete