Tuesday, 11 October 2022

Raja Muda Selangor Berkenan Untuk Memberikan Geran Perniagaan Kepada Usahawan OKU SAY LEAD PRO Anjuran Selangor Youth Community

Petaling Jaya, 11 Oktober 2022 – 30 usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) telah dipilih oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor untuk menerima geran perniagaan dalam program Liga Usahawan OKU Malaysia (SAY LEAD PRO) anjuran Selangor Youth Community.

Raja Muda Selangor berkenan mengambil gambar bersama
jawatankuasa, tetamu jemputan, usahawan OKU dan para media.

Liga ini dianjurkan oleh Selangor Youth Community (SAY), sebuah organisasi bukan kerajaan yang diasaskan oleh D.Y.T.M. Raja Muda Selangor sejak tahun 2017. Program Liga Usahawan OKU Malaysia - SAY LEAD PRO dijalankan dibawah inisiatif Entrepreneurship Selangor dengan membawa visi dan misi Baginda untuk mempromosi keterangkuman dalam kepelbagaian terutamanya kepada golongan usahawan belia. Liga ini ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Hasanah melalui “Hasanah Special Grant”. 

Geran yang dianugerahkan ini berbentuk khas mengikut keperluan peralatan yang diperlukan oleh usahawan. Ini bermaksud usahawan boleh menggunakan geran untuk meminta peralatan yang sesuai untuk memajukan lagi produksi perniagaan mereka seperti mesin acuan dan sebagainya. Usahawan akan mendapatkan nasihat daripada mentor untuk memilih keperluan yang bertepatan dan tidak melebihi jumlah RM3,000.

Kriteria pemilihan peserta adalah:

- Pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang sah di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 
- Berumur dari 18 tahun hingga 45 tahun.
- Berupaya untuk hadir ke kelas secara fizikal dan secara dalam talian 
- Berminat untuk mempelajari aktiviti perniagaan.

Meskipun golongan belia adalah dibawah 35 tahun secara amnya, golongan OKU mempunyai keupayaan yang berbeza daripada orang lain. Oleh itu dengan mengambil kira keadaan mereka, had belia bagi OKU untuk program ini dinaikkan agar mereka boleh diberikan peluang sewajarnya.

Program SAY LEAD telah berjalan selama 18 bulan sejak Januari 2022. 60 peserta dipilih untuk menjalani kursus perniagaan selama 18 bulan yang merangkumi empat fasa.

Empat fasa program SAY LEAD ialah:

Fasa pertama: Unearth The Talent (4 Bulan)
Fasa Kedua: Commercialisation (4 Bulan)
Fasa Ketiga: Sustainability (4 Bulan)
Fasa Terakhir: Giving Back to Societies (4 Bulan) 

Setiap minggu selama kursus bimbingan perniagaan dijalankan, peserta diberi tugasan dalam untuk dilaksanakan dalam perniagaan mereka sama ada secara fizikal ataupun atas talian. Pada fasa pertama, peserta perlu hadir ke kelas secara fizikal untuk mempelajari amali bagaimana untuk menghasilkan produk/perkhidmatan seterusnya mendapatkan pembekal dan mengekalkan kualiti produk. 

Memasuki fasa kedua Commercialisation, daripada 60 peserta hanya 30 peserta sahaja yang akan dipilih untuk memasuki fasa kedua. Pada fasa ini, peserta akan diberikan ilmu bagaimana hendak untuk mengkomersialkan produk yang dihasilkan sama ada secara fizikal ataupun atas talian. Pada fasa kedua ini, Selangor Youth Community (SAY) telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan bootcamp selama tiga hari dua malam di International Youth Centre (IYC), Cheras. Hasil daripada bootcamp tersebut, setiap peserta dibimbing dan ditetapkan mentor berdasarkan produk yang dihasilkan kepada tiga kumpulan iaitu F&B, Jahitan dan perniagaan atas talian. 

Hasil bimbingan tersebut, setiap peserta berjaya memiliki produk sendiri berdasarkan bimbingan daripada mentor. Dalam pada itu, fasa ini juga turut dipantau rapat oleh pihak Selangor Youth Community (SAY) dan mentor dengan mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali pada bulan September untuk merekodkan jualan, kaedah pemasaran dan lain-lain lagi. 

Pengarah projek SAY LEAD PRO dalam ucapan pembukaan majlis.

Tujuan SAY LEAD PRO dalam melatih dan menolong usahawan OKU adalah untuk memberikan mereka peluang berdikari dalam masyarakat. Selain itu, secara tidak langsung dapat membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam mengurangkan beban untuk menguruskan kebajikan para OKU berdaftar di Malaysia yang berjumlah lebih 600 ribu orang.

Harapan SAY LEAD PRO dan Selangor Youth Community secara amnya ialah untuk membantu usahawan OKU lebih kehadapan serta melahirkan generasi ikon OKU yang baharu.

Dari kiri: Puan Nurul Azwa Binti Mohd Rodzi, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Youth Community, Dato’ Shahira Ahmed Bazari, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah dan Penaja Utama Program Liga Usahawan OKU Malaysia- SAY LEAD PRO , D.Y.T.M. Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Mentor-Mentor Usahawan.
 

Antara usahawan OKU yang menerima geran perniagaan khas Hasanah.

D.Y.T.M. Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga berkenan melawat meja paparan hasil perniagaan usahawan OKU SAY LEAD PRO pada majlis yang sama.

Antara yang boleh dilihat melalui instagram @selangoryouth menunjukkan Tuanku Raja Muda Selangor melihat hasil tangan usahawan SAY LEAD PRO.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman rasmi Selangor Youth Community di selangoryouth.com


No comments:

Post a Comment